
SINGAPURA - TIGA lagi individu mencalonkan diri mereka untuk menjadi Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang baru.
Mereka ialah karyawan dalam bidang pembangunan tenaga manusia, Encik Martin Gabriel, 44 tahun; eksekutif dalam bidang makanan dan minuman (F&B), Encik Muhammad Dzul Azhan Haji Sahban, 30 tahun; dan mantan penyiar radio, Encik Ellysutra Sulaiman, 39 tahun.
Encik Gabriel, berbangsa Serani, adalah Pengerusi merangkap Konsultan Kanan Sumber Manusia, HRMatters21, syarikat miliknya sendiri
Mengenai isu-isu yang ingin dibawa ke Parlimen sekiranya dilantik nanti, beliau berkata:
'Saya mahu berkongsi pengalaman dan kepakaran yang ada dalam mengenal pasti isu-isu yang ditimbulkan, trend perbincangan para pengguna Internet dan pandangan-pandangan yang dapat membantu menghuraikan isu atau cabaran yang dihadapi masyarakat Singapura,' ujar lulusan sarjana muda dalam bidang perdagangan dari Universiti Tasmania, Australia, itu yang bercadang menyerahkan borang permohonannya kepada Kerani Parlimen hari ini.
Seorang lagi ialah Encik Muhammad Dzul Azhan yang bertugas sebagai Eksekutif Penjualan dan Pemasaran di syarikat Jumain Sataysfaction Pte Ltd.
Beliau bergiat aktif dalam badan akar umbi dan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (RC) Zon 1 Marsiling, selain Penolong Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CCMC) Marsiling.
Encik Muhammad Dzul Azhan, yang sudah berumah tangga dan berkelulusan Diploma dalam bidang Pendidikan daripada Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang (NIE/NTU), juga kerap menyumbangkan pandangan dalam ruangan Forum akhbar ini sejak 2005.
'Jika dilantik sebagai seorang NMP, saya akan memberi tumpuan kepada beberapa isu, seperti isu pekerjaan, kos kesihatan, kos sara hidup yang semakin tinggi, masalah sosial di kalangan golongan remaja dan belia serta cabaran yang dihadapi ibu atau bapa tunggal,' katanya.
Bagi Encik Ellysutra pula, beliau ingin 'lebih terlibat dalam proses penggubalan dasar, terutama sekali yang menyentuh bidang sukan dan kesenian'.
Ayah tiga anak berusia antara enam bulan dengan empat tahun itu sebelum ini berura-ura bertanding sebagai calon bebas semasa pilihan raya umum Mei lalu bagi merebut kerusi kawasan undi perseorangan Radin Mas, namun menarik diri tidak lama selepas itu.
Sejauh ini sekitar 10 karyawan telah menyatakan keinginan menjadi NMP, tetapi hanya sembilan individu akan dipilih.
