Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Ahad, 30 Mei 2010

Mati Lemas Sedang Memasang Jaring Di Pantai

( Foto hiasan )


MASJID TANAH: “Mereka (mangsa yang lemas) memanggil nama saya berulang kali ketika dalam keadaan tenggelam timbul di permukaan air, namun saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana ombak terlalu kuat untuk menyelamatkan mereka.”

Demikian kata Mohd Nor Mohd Yusof, 44, mangsa yang terselamat dalam kejadian lemas sehingga meragut nyawa ahli keluarganya di pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, dekat sini, awal pagi semalam, ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.

Sebelum itu, mereka merancang melakukan aktiviti keluarga di sini sejak dua minggu lalu dan tiba di pantai petang kelmarin bersama sembilan keluarga lain seramai 30 orang pada hujung minggu sebelum kejadian tidak diingini itu berlaku. Mohd Nor, yang masih terkejut dan bersedih berkata, dia sempat menyaksikan detik terakhir sebelum adik ipar dan adiknya, Abu Muthalib Abu Bakar, 42, dan Mohd Norizal Mohd Yusof, 34, tenggelam dipukul ombak kuat sebelum lemas.

Kedua-dua mangsa korban adalah biras.

“Kira-kira jam 7 pagi ketika mandi di pantai selepas solat Subuh, mereka berdua mengajak saya memasang jaring di pinggir pantai dan saya hanya menurut tanpa menjangkakan apa-apa yang bakal berlaku.

“Kemudian mereka berdua pergi ke tengah sedikit, tapi belum pun sempat saya mendekati, saya lihat mereka berdua tenggelam dan hilang di permukaan air.

“Selang beberapa minit kemudian, mereka timbul semula dan menjerit memanggil nama saya minta tolong dalam keadaan terkapai-kapai sebelum hilang terus. Disebabkan ombak terlalu besar ketika itu sukar untuk saya menyelamatkan mereka.

“Saya tak berani nak dekat, lagipun saya turut terperangkap dalam pasir selut dan terus menjerit sekuat hati serta melambai meminta tolong sebelum disedari bot nelayan yang berada tidak jauh dari situ dan mereka datang menyelamatkan saya daripada lemas.

“Mereka (Abu Muthalib dan Mohd Norizal) tahu berenang tapi kerana ombak besar dan pasir jerlus menyebabkan mereka gagal mengawal diri sebelum lemas. Cuma saya kesal tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya.



Mangsa, Abu Muthalib beralamat di No 6155, Taman Gunung Emas, Tampin, Negeri Sembilan bekerja di Kilang Honda, Alor Gajah, meninggalkan seorang balu, Salina Osman, 40-an dan empat orang anak, manakala Mohd Norizal yang menetap di No 329, Taman Clonlee (2), Tampin, meninggalkan seorang isteri, Sabariah Osman, 31, dan dua anak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Abd Rahman Jid, berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 pagi dan kedua-dua mangsa yang mati lemas sedang memasang jaring ikan tanpa menyedari air sedang pasang dan ombak kuat. “Kami difahamkan, mangsa bertiga hendak memasang jaring ikan sebelum dua daripada mereka tenggelam ditelan ombak besar ketika sedang menarik jaring ke tengah, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan bot nelayan tidak jauh dari tempat kejadian.

“Menurut mangsa yang terselamat, mereka tenggelam secara tiba-tiba sebelum timbul semula di permukaan air dan menjerit meminta tolong dan kemudian hilang terus ke dasar laut semula namun disebabkan ombak terlalu besar ketika itu sukar untuk menyelamatkan mangsa. “Untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, saya ingin menasihatkan semua pengunjung di pantai ini supaya berhati-hati ketika mandi dengan keadaan ombak besar kerana keadaan sekarang tidak sesuai untuk tujuan itu,” katanya.

Operasi menyelamat dilakukan bersama 17 anggota bomba dan penyelamat, enam anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan tiga anggota Polis Marin dan berjaya mengesan mangsa pertama (Abu Muthalib ) kira-kira jam 9.15 pagi, terdampar di pantai tidak jauh dari tempat kejadian.

Mayat mangsa kedua pula ditemui kira-kira jam 9.55 pagi selepas mangsa pertama ditemui dalam keadaan badannya masih terbelit dengan jaring dalam keadaan terapung kira-kira 50 meter dari pinggir pantai dan dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk bedah siasat.

Tak sempat bermesra MASJID TANAH: “Ayah beri kunci dan pesan saya supaya pegang kunci itu kerana katanya dia nak ke pantai dengan segera walaupun ibu menegahnya,” kata anak sulung Abu Muthalib, Nadia Husna, 19, selepas bapanya didapati lemas ketika memasang jaring di pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, dekat sini, awal pagi semalam.

Nadia Husna berkata, beliau lewat tiba bersama suaminya, Azizul Rosli, 23, kira-kira jam 11.00 malam kelmarin dan sempat makan malam dengan arwah bapanya bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain dalam percutian singkat mereka ke sini.

“Saya tak sangka kejadian ini menimpa keluarga saya, malah ayah pergi terlebih dulu sebelum sempat kami hendak bermesra bersamanya sebagai satu keluarga di pantai ini. Namun, kami semua reda dengan pemergiannya kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular