Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Sabtu, 22 Mei 2010

Mahkamah Tolak Bantahan Awal Isteri Kedua Sultan Kelantan



KOTA BAHARU, 23 Mei: -- Mahkamah Tinggi Syariah pada hari Ahad menolak permohonan bantahan awal isteri kedua Sultan Kelantan Cik Puan Elia Suhana Ahmad bagi membatalkan permohonan lafaz cerai talak tiga yang difailkan seorang wanita Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman pada 9 Mac lalu.

Hakim Syarie, Abdullah Man ketika membuat keputusan itu berkata apa yang dilakukan Nik Rorhana, 60, (plaintif) itu telah menepati hukum syarak bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan terhadap lafaz cerai baginda itu.

"Apa yang dilakukan oleh plaintif tidak bercanggah dengan hukum syarak kerana mendakwa telah mendengar lafaz berkenaan yang memohon agar hak Allah SWT itu dapat diselesaikan dengan baik.

"Ini bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak baik dan mahkamah boleh membuat keputusan dengan mengambil kira pelbagai pandangan," katanya ketika membacakan penghakimannya selama kira-kira 15 minit.

Elia Suhana, 31, yang hadir kemudiannya dilihat mengalirkan air mata selepas keputusan itu. Nik Rorhana juga turut hadir mendengar kes tersebut.

Bagaimanapun, Abdullah juga berkata daripada segi perundangan adalah tidak wajar plaintif membawa kes ini ke mahkamah kerana Sultan Kelantan selaku ketua agama, baginda dilindungi hak-hak mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan.

Beliau berkata dengan itu mahkamah hanya akan mendengar kes induk iaitu perbicaraan lafaz cerai itu pada 13 Jun depan.

"Mahkamah juga akan memohon untuk menghadap Ke bawah Duli Tuanku (Sultan Kelantan) bagi membolehkan siasatan dilakukan bersabit dakwaan lafaz cerai baginda itu.

"Mulai hari ini pihak defendan dibenarkan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah ini dalam tempoh 14 hari," katanya.

Peguam syarie yang mewakili Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan yang ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya bersetuju untuk tidak membuat rayuan sebaliknya telah bersedia untuk menghadapi perbicaraan pada 13 Jun itu.

Sementara itu, peguam syarie mewakili plaintif, Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata pihaknya akan mengemukakan tujuh saksi sepanjang perbicaraan kes induk itu nanti.

Pada 9 Mac lalu Zainul Rijal yang mewakili Nik Rorhana itu telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap Elia Suhana yang dikahwini baginda pada penghujung 2007.

Lafaz cerai berkenaan didakwa dilafazkan baginda ketika masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Feb lepas di hadapan beberapa orang saksi termasuk Nik Rorhana. -- BERNAMA

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular