
SINGAPURA - SEDANG kebanyakan anak muda di Singapura selesa dengan kehidupan mereka, Sharifah Nur'aisyah Syed Iskandar, 17 tahun, ingin keluar daripada zon selesanya dan mendedahkan dirinya kepada kesusahan di negara-negara lain, yang sering dibacanya di akhbar.
'Saya cuma pernah dengar tentangnya tapi belum pernah melihatnya dengan mata saya sendiri,' ujar pelajar tahun pertama Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) itu.
Oleh itu, Sharifah tidak melepaskan peluang menyertai projek kemasyarakatan Kelab Mendaki ke Yogyakarta, Indonesia, bagi melihat kehidupan susah masyarakat di sana yang terjejas oleh ledakan Gunung Merapi awal tahun ini.
Beliau bersama 23 lagi ahli Kelab Mendaki berusia 15 hingga 17 tahun berlepas semalam bagi menghulurkan bantuan di sana selama lapan hari. Mereka dipimpin enam pemudah cara yang merupakan sukarelawan kelab itu.
Ini projek kemasyarakatan luar negara pertama yang dianjurkan Kelab Mendaki.
Kumpulan belia itu antara lain akan mengajar bahasa Inggeris kepada masyarakat di sana, mengadakan kelas menjaga kebersihan diri dan melakukan kerja pemulihan di kawasan-kawasan di Prambanan dan Borobudur.
'Saya berharap akan menjadi seorang yang lebih kuat dan baik apabila pulang nanti. Saya juga berharap masyarakat di sana tahu bahawa ada orang luar dari negara mereka yang peduli tentang mereka dan sudi menghulurkan bantuan,' kata Sharifah.
Meskipun beliau dan rakan-rakannya bakal menghadapi pelbagai cabaran di sana, salah seorang pemudah cara, Encik Sharom Taha, 32 tahun, yakin mereka mampu mengatasinya dengan baik.
'Projek ini adalah satu platform kepimpinan yang baik bagi mereka melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Ia juga lanjutan daripada program tempatan yang telah banyak kami adakan. Mudah-mudahan apabila pulang nanti mereka pula akan menganjurkan projek-projek sebegini,' kata guru sekolah menengah itu.