
BANDAR SERI BEGAWAN - Jangan pandang remeh amalan rasuah walaupun hanya melibatkan jumlah yang kecil kerana sesungguhnya perbuatan rasuah itu haram, perbuatan yang keji serta dilaknat, dan banyak memberi kesan yang buruk kepada individu, masyarakat dan juga negara.
Khatib mengongsi sebuah hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam riwayat Imam Al-Maturidi yang antara lain maksudnya menyebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam telah melaknat pemberi rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dan sebagainya).
"Rasuah tidak akan menjanjikan kesenangan walaupun memperoleh keuntungan yang sangat besar kerana rasuah boleh mengakibatkan hilang pekerjaan, meringkuk dalam penjara, keluarga dan rumah tangga akan kucar kacir, dicemuh oleh masyarakat dan bermacam-macam lagi akibat yang akan ditanggung."
Dalam Khutbah Jumaat, Khatib telah menyebutkan tiga kesan buruk akibat rasuah yang dapat dilihat iaitu akibat kepada masyarakat, individu dan negara.
Khatib menghuraikan akibatnya kepada masyarakat ialah rasuah itu boleh memutarbelitkan kebenaran iaitu suatu yang salah boleh dianggap betul dan begitu juga sebaliknya, suatu yang betul boleh dianggap salah selain turut boleh merosakkan nilai akhlak yang mulia, menghakis potensi dan kualiti diri seseorang.
Menyentuh mengenai akibatnya kepada individu, Khatib mengatakan makan hasil dari duit haram adalah akibat yang pertama diperolehi bagi orang yang makan rasuah.
Menurut Khatib, jika daging yang tumbuh di badan manusia itu adalah dari punca yang haram maka hati akan menjadi gelap, jika hati menjadi gelap, doa dan amalan akan ditolak oleh Allah Ta'ala dan daging yang tumbuh dari duit haram akan dimasukkan ke dalam api neraka.
Akibatnya kepada negara pula adalah jelas kerana rasuah boleh menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran apabila ia digunakan untuk membeli peraturan dan undang-undang, yang akan mengakibatkan sistem pentadbiran dan pengurusan sesebuah negara itu menjadi lemah, pincang dan segala pembangunan terjejas, ujar Khatib.