
BANDAR SERI BEGAWAN - Tentera Darat Diraja Brunei dan Angkatan Tentera Singapura, mengeratkan lagi hubungan kerjasama, kesefahaman doktrin dan prosedur operasi di antara kedua-dua buah negara menerusi latihan bersama dua hala, Eksesais MAJU BERSAMA 2011 yang dilancarkan di Padang Kawad Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei, Berakas Garison, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan pelancaran eksesais dua hala itu ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Yussof Haji Abdul Rahman.
Turut hadir di majlis berkenaan selaku wakil dari Angkatan Tentera Singapura ialah Pemerintah TRADOC, Brigedier Jeneral Hock Lim Yu.
Majlis dimulakan dengan ketibaan Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Yussof yang menerima tabik hormat dan kemudian memeriksa perbarisan yang disertai oleh kira-kira 550 anggota Tentera Darat Diraja Brunei dan Angkatan Tentera Singapura yang mengambil bahagian dalam latihan dua hala berkenaan.
Majlis berkenaan kemudian menyaksikan penyerahan bendera dari Pegawai Memerintah Spear Company 1st Guard Angkatan Tentera Singapura, Kapten Eric kepada Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei, Leftenan Kolonel Haji Damit Haji Bakar.
Latihan dua hala bersama 2011 itu dikendalikan oleh Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei.
Latihan setiap dua tahun itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan diplomatik di antara Tentera Darat Diraja Brunei dengan Angkatan Tentera Singapura.