
SINGAPURA - SINGAPURA merupakan bandar keenam paling mahal di Asia dari segi kos kehidupan tahun ini, naik dua tangga berbanding tahun lalu.
Kota Singa mengatasi Hongkong buat kali pertama sejak sekurang-kurangnya sedekad.
Hongkong menduduki tangga kesembilan tahun ini berbanding tangga keenam tahun lalu.
Di peringkat sejagat, Singapura menduduki tangga ke-31 berbanding tangga ke-42 tahun lalu, menurut Tinjauan Kos Kehidupan yang dijalankan ECA International.
Tokyo mengekalkan kedudukan pertama sebagai bandar paling mahal di Asia dan dunia. Ini disebabkan nilai yen Jepun yang kukuh.
Pengarah Serantau ECA International Asia, Encik Lee Quane, berkata kos kehidupan di Singapura menjadi semakin mahal disebabkan nilai dolar Singapura yang kukuh berbanding nilai dolar Amerika dan mata wang serantau yang lain, serta kadar inflasi yang tinggi.
'Singapura menjadi semakin mahal jika dibandingkan dengan lokasi lain disebabkan kadar inflasi yang tinggi, iatu sebanyak 5.7 peratus, berdasarkan produk dan khidmat yang ditinjau dan pengukuhan nilai dolar Singapura sejak dua tahun lalu.
'Apabila kita mengubah kos itu kepada nilai dolar Amerika, kos kehidupan di sini bertambah mahal,' ujar Encik Quane dalam satu sidang akhbar semalam.
ECA mengambil kira harga makanan dan minuman, tembakau, pakaian, barangan elektrik dan pengangkutan ketika mengira kos kehidupan itu. Ia tidak pula mengambil kira kos perumahan, yuran sekolah, pembelian kereta dan harga perbekalan.
Tinjauan ke atas kos kehidupan itu, yang dijalankan pada Mac dan September setiap tahun, digunakan oleh syarikat-syarikat sebagai kayu ukur bagi elaun kos kehidupan yang akan diberikan apabila menghantar pekerja ke luar negara.
Menjelaskan kedudukan Singapura yang mengatasi Hongkong, Encik Quane berkata: 'Apabila kita melihat kos produk dan khidmat yang ditinjau ECA di Singapura setahun lalu, barangbarang itu adalah 1.7 peratus lebih murah di Singapura berbanding jika dibeli di Hongkong. Kini, barang yang sama adalah 8.5 peratus lebih mahal di Singapura berbanding Hongkong.'
Namun, beliau menambah Hongkong mungkin mengatasi Singapura jika kos perumahan diambil kira.
Ditanya kesan kenaikan kos kehidupan di Singapura terhadap syarikat-syarikat luar yang ingin menghantar pekerja mereka ke sini, Encik Quane berkata syarikat akan menimbangkan pelbagai faktor, termasuk kepentingan pasaran Singapura bagi perniagaan mereka.