CHEF Wan menepung tawar anaknya, Chef Riz bersama Ana Dahlia pada majlis persandingan di Dewan Banquet Menara Kamalbina, Kamunting, Taiping malam semalam.TAIPING - Dengan sekali lafaz, juri rancangan pencarian tukang masak selebriti, Masterchef, Chef Riz, 29, sah menjadi suami kepada pelakon, Ana Dahlia, 28, semalam.
Pasangan itu dinikahkan oleh Naib Kadi Kampung Batu 8, Changkat Jering, Nawi Osman di rumah pengantin perempuan di Kampung Bendang Siam, Changkat Jering di sini pada pukul 12.25 tengah hari.
Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar menerima wang hantaran RM20,000 dan mas kahwin RM1,001 serta sebentuk cincin.
Dia yang pernah membintangi filem genre seram Mantra menerima 13 dulang hantaran daripada suaminya dan membalas 15 dulang hantaran bagi pihak pengantin perempuan.
Manakala, majlis resepsi kedua di sebelah pihak lelaki akan berlangsung di Sungai Koyan, Raub, Pahang pada 18 Disember ini.
Pihak lelaki menerima hantaran berupa dompet, Blackberry, minyak wangi, tali pinggang, set kelengkapan diri, pen, jam tangan, sireh junjung, sepasang baju dan seluar, pemanis dan dua pasang kasut.
Sementara pihak perempuan menerima coklat, kek, minyak wangi, cermin mata, jam tangan, tas tangan, kain lace, sireh junjung, tepak sireh dan buah-buahan.
