
SINGAPURA - WALAU ghairah untuk tampil dalam Liga Super Malaysia tahun depan selepas 17 tahun, skuad Singapura perlu mengatasi satu lagi cabaran - kegugupan.
Ini diakui pemain penyerang Khairul Nizam, 20 tahun.
'Bagi saya liga ini sesuatu yang baru dan saya perlu atasi perasaan gugup secepat mungkin bagi memastikan pelibatan terbaik,' kata beliau.
Bekas pemain penyerang Courts Singa Muda itu sedar cabaran yang bakal mereka hadapi daripada pasukan-pasukan negeri di Liga-M nanti.
'Persaingan sengit dan kami menjangkakan musim yang lebih bererti tahun depan,' tambahnya.
Pemain yang tampil dalam Sukan SEA Jakarta bulan lalu itu juga sedar setiap pemain perlu menyesuaikan diri pada keadaan, terutama apabila mereka bergerak dari satu negeri ke satu negeri.
'Ini juga pengalaman baru buat saya kerana selama bermain di Liga-S kami tidak menghadapi masalah pengangkutan,' katanya.
Khairul antara empat pemain adik-beradik yang bakal mengharungi cabaran Liga-M bermula 10 Januari.
Beliau bersama abangnya, Khairul Nizam, 28 tahun, dan Shakir Hamzah, 19 tahun, serta abangnya, Shahril Hamzah, 22 tahun, mencatat sejarah sebagai adik- adik pertama dalam skuad negara sejak era Amin dan Nazri Nasir.
Jurulatih nasional Radojko 'Raddy' Avramovic menyifatkan penyertaan Singapura dalam Liga-M antara wadah baru bagi pemain meningkatkan mutu permainan masing-masing.
'Seyogia diingat ada pemain yang dipilih dalam skuad Liga-M ini telah melibatkan diri dengan Liga-S sejak tiga musim lalu. Oleh itu, sudah tiba masanya mereka meneroka sesuatu yang baru dan menimba pengalaman bermain dalam sekitaran berbeza,' katanya.
Raddy juga melahirkan keyakinan barisan pemain yang dipimpin jurulatih V. Sundram Moorthy dan penolongnya, Kadir Yahaya, mampu memberi cabaran di Liga-M.