SINGAPURA -SEBUAH risalah panduan bagi membantu orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat agensi hartanah dilancarkan Majlis Agensi Hartanah (CEA) semalam.
Risalah Panduan Pelanggan Bagi Mengambil Khidmat Jurujual Hartanah itu antara lain memberi panduan praktikal tentang cara berurusan dengan agensi hartanah dan ejen mereka.
Ia turut menggariskan tanggungjawab utama agensi dan ejen hartanah serta amalan yang dilarang di bawah undang-undang.
CEA dalam satu kenyataan semalam menyatakan risalah panduan itu sebahagian daripada usahanya membantu pelanggan memastikan urus niaga hartanah dapat berjalan dengan lancar.
Contohnya, risalah itu memberitahu bahawa ejen hartanah tidak dibenarkan mewakili kedua-dua belah pihak, pembeli dan penjual, atau merujuk pelanggan kepada pemiutang.
Risalah tersebut juga memberi saranan tentang langkah-langkah yang boleh diambil oleh pelanggan bagi memastikan urus niaga hartanah mereka berjalan lancar.
Contohnya, mereka boleh memeriksa identiti ejen atau jurujual hartanah menerusi Daftar Awam di laman www.cea.gov.sg sebelum berurusan dengan mereka.
Ia juga menyediakan maklumat tentang langkah- langkah yang boleh diambil pelanggan apabila menghadapi pertikaian atau ingin membuat aduan kepada CEA.
Pengarah Eksekutif CEA, Encik Chionh Chye Khye, berkata meskipun agensi dan ejen hartanah dikehendaki oleh undang-undang berkelakuan mengikut etika ketika berurusan dengan pelanggan, pelanggan juga perlu memahami mereka turut bertanggungjawab dalam memastikan urus niaga berjalan lancar.
'Pelanggan perlu mengetahui apakah perkara-perkara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dilakukan oleh ejen hartanah, dan harus berurusan hanya dengan agensi hartanah berlesen dan ejen berdaftar.
'Ini akan membantu mereka mengelakkan sebarang masalah yang boleh timbul dan menikmati pengalaman lebih memuaskan apabila berurusan dengan ejen hartanah,' ujar beliau.
