Haji Badar bergambar ramai dengan ahli-ahli pengakap yang menyertai program pengembaraan ahli pengakap kelana itu.BANDAR SERI BEGAWAN - Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam buat julung kalinya mengadakan Program Jejak Kelana 1 yang berbentuk pengembaraan dan penjelajahan ke negara jiran yang terdekat iaitu Malaysia di Negeri Sarawak dan Sabah.
Pengembaraan yang berbentuk berjalan kaki dan menggunakan pelbagai jenis kenderaan di darat dan di air yang bersesuaian dan selamat akan berlangsung selama 5 hari bermula 14 Disember.
Seramai 8 orang ahli Pengakap Kelana terdiri daripada Pasukan Pengakap Kelana Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Pasukan Pengakap Kelana Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal akan mengembara ke Beaufort, Tenom, Menumbok, Wilayah Persekutuan Labuan dan kembali semula ke Negara Brunei Darussalam.
Peserta program akan menjejak rakan-rakan sebaya yang terdiri daripada ahli Pengakap Kelana di negeri yang dilawati dalam mengeratkan Persaudaraan Pengakap atau silaturahim melalui aktiviti integrasi yang berupa budaya, pertanian, perusahaan, perniagaan dan lain-lain.
Di samping itu juga, peserta akan melaksanakan beberapa tugasan dalam kumpulan yang diberikan.
Sehubungan itu, majlis pelepasan peserta dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar Haji Ali di hadapan Bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam di Jalan Gadong, kelmarin, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.
