SINGAPURA - MENYUSUR sejarah kawasan Bras Basah dan Bugis yang menempatkan lebih 20 tapak bersejarah dan monumen negara menerusi acara menarik Disember ini.
Antaranya penyalaan enam monumen - Muzium Seni Singapura, SAM at 8Q, Muzium Negara, Muzium Peranakan, Armenian Church of St Gregory the Illuminator dan Sekolah Seni Singapura (Sota) - yang akan bermandikan cahaya sempena musim perayaan ini.
Penyalaan itu berlangsung dari 7 hingga 10.30 malam setiap hujung minggu bermula malam ini hingga 29 Januari depan.
Monumen itu bakal menjadi kanvas pancaran cahaya berwarna-warni hasil karya seniman dan pelajar seni setempat.
Tarikan itu adalah antara acara anjuran Lembaga Warisan Kebangsaan (NHB) sepanjang Disember ini untuk menonjolkan kawasan berkenaan sebagai daerah yang kaya sejarah, seni dan budaya.
Selain itu, satu Pameran Warisan Bras Basah. Bugis (BBB) juga diadakan di Atrium Bangunan Perpustakaan Negara dekat Victoria Street. Dilancarkan semalam, pameran ini menyusuri sejarah kawasan Bras Basah dan Bugis sejak awal 1800-an, serta asal usul lebih 20 tempat bersejarah dan monumen di situ.
Penduduk dan pengunjung ke Singapura juga dijemput meninjau dan menjejaki sejarah kawasan itu berpandukan aplikasi telefon bimbit baru, 'Walk Singapore: Bras Basah. Bugis' yang turut dilancarkan.
Aplikasi itu, yang mengandungi maklumat mengenai sejarah monumen serta mercu tanda di kawasan itu, kini boleh dimuat turun daripada Apple Apstore dan Android Market secara percuma.
Pengunjung juga boleh menikmati sekeliling kawasan Bras Basah dan Bugis serta Sungai Singapura dengan berjalan kaki dalam acara Singapore Footprints Walking Tour yang dikelola dan dipandu pelajar Kelab Pelancongan dan Pengurusan Pelayanan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Acara ini diadakan secara percuma setiap Sabtu dan Ahad bermula 7 Januari.
Maklumat lanjut boleh didapatkan di laman NHB di http://www.nhb.gov.sg/brasbasahbugis/BBB_KeyEvents.html.
