Encik Mohammad Nazrin, teknisyen di unit ujian enjin pesawat di Kampus Rolls-Royce Seletar, diberi peluang meluaskan kemahirannya dan menjalani latihan tiga bulan di Britain.SINGAPURA - SEBANYAK 500 pekerjaan baru kini ditawarkan pembuat enjin pesawat Britain, Rolls- Royce, yang akan membuka kampus di Taman Aerospace Seletar Februari depan.
Kampus yang dibina dengan belanja $700 juta itu dijangka menampung 1,200 pekerja menjelang 2015.
Ia memberi keutamaan kepada warga setempat - 80 peratus hingga 90 peratus pekerja Singapura dan Penduduk Tetap (PR).
Kampus Rolls-Royce Seletar kini mempunyai 300 pekerja dan hingga 90 peratus daripada mereka warga atau PR Singapura.
Lebih 100 teknisyen dan juruteranya telah selesai menjalani latihan enam bulan di syarikatnya di Britain dan tiga bulan di sini.
Kampus tersebut merangkumi kilang bilah kipas besar bagi pesawat dan pusat pemasangan dan ujian enjin pesawat Trent - kededuanya yang pertama dibina syarikat itu di luar Britain.
Ia juga mempunyai sebuah Pusat Latihan Serantau (RTC) dan Pusat Teknologi Lanjutan (ATC).
Pengurus negara tenaga kerja (HR) Rolls-Royce Singapura, Cik Ang Cham Lark, berkata kebanyakan jawatan yang ditawarkan ialah teknisyen dan jurutera.
Menurut beliau, pemohon perlu kelulusan atau pengalaman teknikal, contohnya dalam bidang penyenggaraan atau semi- konduktor, dan lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti dijemput memohon.
Pemohon tidak perlu mempunyai kelulusan atau pengalaman dalam kejuruteraan pesawat.
'Kami perlu pekerja yang ada latar belakang teknikal dan bersedia menjalani program latihan intensif yang boleh mengambil masa hingga sembilan bulan.
'Kami juga perlu pekerja yang prihatin akan perincian. Ini kerana mereka perlu menghasilkan enjin pesawat, dan ini ada kaitan dengan nyawa penumpang,' ujar Cik Ang semasa ditemui dalam satu sesi lawatan bagi media semalam.
Sekitar 4,000 orang akan dilatih setiap tahun di RTCnya, yang dibuka kepada pekerja dan pelanggan di rantau ini.
Ia menawarkan 400 modul, termasuk latihan dalam pemasangan serta ujian enjin pesawat dan penghasilan bilah kipas besar pesawat.
Menjelang 2015, sebanyak 250 enjin pesawat Trent dan 6,000 bilah kipas besar pesawat akan dihasilkan setiap tahun.
