
KUALA LUMPUR - Dia layak digelar janda gengster! Selepas diceraikan suaminya, wanita ini cuba melupakan masalah dihadapi dengan cara songsang apabila terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan kumpulan kongsi gelap.
Lebih memalukan, janda mualaf berusia 28 tahun yang memeluk Islam ketika berkahwin dengan bekas suaminya tiga tahun dulu seakan-akan membelakangi agama dianutinya apabila kini mempunyai dua anak hasil hubungan luar nikah dengan dua lelaki berbeza.
Usaha wartawan yang cuba menyelongkar kisah janda ganas ini berhasil apabila penyiasatan dilakukan berjaya menembusi tembok ‘kebal’ wanita itu.
Hidup janda dikenali sebagai Zalika atau Ika itu didapati tidak terurus apabila dia tidak lagi bekerja. Disebabkan itu, kehidupannya bersama dua anak yang masih kecil terumbang-ambing dan serba kekurangan, lebih-lebih lagi apabila si ibu menjadi hamba dadah.
Selepas berjaya memasuki rumah wanita itu menerusi penyamaran, wartawan mendapati Ika tanpa segan silu menghisap syabu di depan anak perempuannya berusia dua tahun.
Selain itu, keadaan rumah yang sempit, tidak terurus, berbau serta kotor juga tidak sesuai buat wanita ini membesarkan anaknya, termasuk paling kecil berusia empat bulan.
Menurut Ika yang berasal dari Johor Bahru, pada mulanya dia berhijrah ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan pekerjaan tetapi selepas beberapa bulan di bandar raya ini, dia mengenali seorang lelaki beragama Islam dan kemudian merancang untuk berkahwin.
“Masa itu umur saya baru 23 tahun tetapi sudah berjinak-jinak dengan heroin dan syabu. Pada waktu itu juga saya dan keluarga penganut agama Kristian.
“Tidak lama selepas itu, kami mengikat tali pertunangan dan saya bertekad ingin mempelajari Islam dan memeluk agama itu sebelum kami bernikah serta meninggalkan segala tabiat buruk yang pernah saya lakukan.
“Selepas berkahwin, keluarga mentua menyambut baik kedatangan saya sebagai saudara baru. Mereka mengajar dan membimbing saya mengenai pelbagai ilmu agama seperti bagaimana mahu menunaikan solat, membaca al-Quran dan menutup aurat seperti memakai tudung,” katanya.
“Pada mulanya saya pelik kenapa bekas suami tidak mengajar saya mengenai perkara itu? Saya saudara baru yang harus dibimbing olehnya, tetapi perkara lain pula berlaku.
“Selepas tiga tahun berkahwin dan dikurniakan dua cahaya mata, tiba-tiba bekas suami benci dan muak melihat saya tanpa sebab. Dia juga secara terang-terangan mengatakan ada teman wanita baru dan ingin menceraikan saya.
“Hati wanita mana tidak hancur mendengar kenyataan itu, lebih-lebih lagi saya sanggup meninggalkan keluarga kerana cinta dan sayang kepadanya,” katanya.
Selepas diceraikan, kedua-dua anak wanita ini diambil bekas suaminya. Patah hati dengan tindakan itu dan bergelar janda pada usia 26 tahun, Ika mengambil keputusan tidak lagi menjalin ikatan dengan keluarga bekas suami dan mencari hala hidup baru.
