Shamsuddin bersama Mohd. Ali (tengah) dan Sapuan (kanan) memanjatkan doa kesyukuran di hadapan Penjara Kluang, Johor selepas dibebaskan semalam.
JOHOR BAHRU - Lapan banduan yang telah ditahan antara 22 tahun hingga 37 tahun dibebaskan dari beberapa buah penjara di Johor, Pahang, Kedah dan Selangor semalam selepas masing-masing mendapat pengampunan penuh daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Kesemua tahanan itu melakukan kesalahan di negeri Johor satu masa dahulu dan dibebaskan pada hari pertama umat Islam berpuasa semalam selepas mendapat perkenan Lembaga Pengampunan Negeri Johor yang dipengerusi oleh baginda pada 19 Januari lalu.
Di Kluang, warga Singapura, Shamsuddin@Botak Baharin, 55, memegang rekod sebagai banduan paling lama menjalani hukuman penjara di Malaysia dengan tempoh tahanan selama 37 tahun.
"Bila sudah terlampau lama dalam penjara, saya jadi putus asa untuk hidup bebas.
"Syukurlah, sesungguhnya Ramadan ini yang paling bererti kepada saya," katanya sebak ketika ditemui di Penjara Kluang semalam.
Selain Shamsuddin, turut dibebaskan dari Penjara Kluang ialah Sapuan Hanin, 58, dan warga Indonesia, Mohd. Ali Nordin, 63.
Shamsuddin yang pernah menjadi orang buruan polis Johor dan Singapura dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas kesalahan menembak dua anggota polis yang cuba menahannya.
Dia didakwa di bawah Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan.
Untuk perancangan masa hadapan, Shamsuddin bercadang membuka kedai jahit.
Sapuan pula menganggap dirinya umpama bayi baru lahir setelah terlepas daripada hukuman gantung sampai mati kerana mengedar 6.71 kilogram kanabis di sebuah surau di Jalan Parit Ismail, Benut, Pontian pada tahun 1987.