
SINGAPURA - PELEKAT logo halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ditemui dijual tanpa izin di sebuah kedai di pusat beli-belah Eastpoint Mall Selasa lalu - insiden kedua dikesan tahun ini.
Penemuan itu sekali lagi menimbulkan rasa khuatir masyarakat Islam Singapura yang bimbang logo itu disalah guna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Seorang pembaca, Encik Mohammad Zahid Rohmat, menghubungi wartawan bagi melahirkan rasa prihatin terhadap penjualan logo halal tanpa izin itu.
Beliau mengirim e-mel berserta gambar logo halal yang dijual pada harga $3 sekeping itu kepada media semalam.
Menurutnya, 29 tahun, beliau sedang berjalan-jalan bersama tunangnya, Cik Nurul 'Adilah Ahmad Fuad, di pusat belibelah di Simei itu pada Selasa lalu apabila mereka terserempak pelekat logo halal tersebut dijual di sebuah kedai menjual barangan kraf tangan dan cederahati.
'Saya berharap masyarakat Islam Singapura terus berwaspada kerana masih lagi terdapat sijil halal Muis tiruan yang dijual di kedai-kedai,' katanya.
Percubaan wartawan menghubungi kedai itu tidak dijawab.
Bagaimanapun, seorang jurucakap Muis memberitahu kedai itu sudah menghentikan penjualan pelekat logo halal itu.
Beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu, pelekat serupa ditemui dijual di sebuah kedai serbaneka di estet perusahaan Marsiling.
Bagi memastikan penjualan pelekat itu dapat dihentikan dan dicegah, Encik Mohammad Zahid sudah membuat laporan polis dan mendapatkan perhatian Muis mengenai penemuannya itu.
Polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan kini sedang menyiasat.
Menurut jurucakap Muis pula, pihaknya juga membuat laporan polis sejurus dimaklumkan mengenai hal itu.
'Kami memaklumkan pegawai polis yang sama, yang sedang menyiasat kes pertama di estet Marsiling, tentang hal ini.