Mahfuz OmarKUALA LUMPUR - Pas tidak menghalang sekiranya Exco Hal Ehwal Islam, Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali untuk menyertai mana-mana parti politik di negara ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, itu adalah kemahuan individu terbabit, malah beliau berhak untuk meninggalkan Pas dan menyertai parti lain.
Menurutnya, tiada sebarang halangan yang timbul, kerana Pas mengamalkan prinsip demokrasi dan apa yang diperkatakan oleh Hasan sebelum ini lebih bersifat peribadi.
"Pas bersikap terbuka, dan tidak mempunyai halangan untuk Hasan, sekiranya ingin meninggalkan parti ini, malah sebelum ini beberapa pemimpin dan ahli Pas telah berbuat demikian, kami (Pas) masih teguh untuk meneruskan perjuangan.
"Pas tidak akan memberontak atau meraih simpati jika ia berlaku, Hasan juga berhak untuk memberikan sebarang pandangan, sudah tentu beliau mempunyai pendapat sendiri, dan saya yakin apa yang diperkatakan oleh beliau bersifat peribadi, Pas mengamalkan demokrasi malah tidak menghalang sesiapa bersuara," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Pas.
Terdahulu Hasan menegaskan bahawa beliau akan terus bersama dengan mana-mana organisasi atau parti yang memperjuangkan tiga prinsip iaitu agama Islam, bangsa Melayu dan Institusi Raja-raja.
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu menyatakan, beliau tidak menolak kemungkinan akan menyertai mana-mana parti yang memperjuang tiga prinsip itu termasuk Umno.
Mahfuz berkata, apa yang berlaku adalah senario biasa dalam arena politik, terutama membabitkan isu keluar dan masuk parti.
