Diantara mereka yang menghadiri Demo Bersih 3. di Kuala Lumpur.
SINGAPURA - KES dana $50 juta Gereja City Harvest (CHC) yang dikatakan digelapkan dan kehadiran pegawai Kementerian Ehwal Luar (MFA) di perhimpunan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 di Malaysia antara isu yang bakal dibincangkan apabila Parlimen bersidang lusa.
Sewaktu sidang yang dijangka berlangsung dua hari itu, Menteri Pengangkutan, Encik Lui Tuck Yew, juga dijangka memberi respons pemerintah kepada laporan Jawatankuasa Siasatan (COI) mengenai gangguan yang melumpuhkan sistem MRT pada 15 dan 17 Disember lalu.
Encik Laurence Lien ( Anggota Parlimen Dilantik (NMP)), misalnya, akan meminta Pemangku Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan menjelaskan mengapa semakan yang dijalankan Pesuruhjaya Pertubuhan Amal (COC) pada 2008, yang turut merangkumi Gereja City Harvest (CHC), tidak menemui "kegenjotan" berhubung garis panduan yang perlu dipatuhi.
Beliau juga ingin tahu apakah metodologi COC berhubung kepemerintahan dapat disemak.
Encik Sitoh Yih Pin (Potong Pasir) pula ingin tahu apakah pegawai MFA terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0.
Beliau juga ingin tahu jika pegawai MFA ada di perhimpunan itu apakah mereka memakai pakaian kuning bagi memaparkan sokongan terhadap peserta, dan jika benar kejadian itu berlaku, apakah ia boleh menjejas hubungan dua hala.
Encik Chen Show Mao (GRC Aljunied) pula telah mengemukakan beberapa soalan mengenai syarat-syarat bagi pengundi luar negara dan kemungkinan menambah pusat mengundi di luar negara serta memudahkan mereka mendaftar dan mengundi.
Soalan lain termasuk kesan hutang Eropah kepada ekonomi Singapura, kesan inflasi terhadap warga Singapura dan perlindungan insurans bagi pekerja berpendapatan rendah.
Dalam sidang itu, Encik Png Eng Huat akan mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Hougang.

