Gambar Ida bersama anaknya yang dikirim kepada Mariam.
PASIR GUDANG – “Saya selalu berdoa dan yakin ‘esok’ ada hari kami boleh berkumpul bersama semula seperti hari raya tiga tahun lepas,” demikian luah seorang ibu, Mariam Sarian, 47, yang mendakwa anak perempuannya dihantar Imigresen ke Indonesia.
Mariam berkata, hanya tangisan yang tertumpah setiap kali anaknya, Faizada Aldam, 23, menghubungi sambil meratap meminta dia dibawa pulang untuk berhari raya bersama keluarga.
Menurutnya, hatinya bertambah sayu apabila Faizada yang mesra dipanggil Ida menceritakan kesusahan hidup bersama anaknya di Lombok, Indonesia.
“Bulan puasa banyak kali Ida hubungi saya sambil menangis nak balik beraya bersama kami, tapi saya cakap, mak tak mampu buat apa-apa selain turun naik berusaha mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak kerana kita tak ada kuasa.
“Hati saya sayu setiap kali membaca sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar berbunyi: Aku hidup di sini sengsara dan selalu menangis.. hidup aku macam neraka.. tolong aku mak, aku dah tak boleh hidup di sini.. aku nak pulang..,” katanya.
Mariam berkata, sudah dua tahun juga dia menyediakan rendang dan ketupat untuk mengubat rindu kepada Ida kerana masakan itu adalah kegemaran anaknya setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga ada memintanya ke Indonesia mengambil cap jari Ida untuk menguruskan MyKad anaknya itu.
Bagaimanapun katanya, untuk ke Indonesia memerlukan kos yang tinggi sedangkan beribu-ribu wangnya habis digunakan untuk berulang-alik ke Sabah sebelum ini bagi menguruskan MyKad anaknya.
“Saya tak mampu nak ke sana walaupun Ida ada memberikan saya alamat. Saya mohon pihak berkuasa yang menghantar anak saya ke sana yang bertanggungjawab membawanya pulang ke sini.
“Saya bukan sahaja ada bukti sijil lahir asli Ida, tapi hasil semakan juga menunjukkan nombor MyKad Ida sudah ada, cuma menunggu cap jarinya sahaja,” katanya.
April media lepas menyiarkan hasrat seorang ibu merayu anaknya dibawa pulang selepas didakwa dihantar Imigresen ke Indonesia setelah salinan sijil lahir yang ditunjukkan dikatakan palsu.
Menurut Mariam, pertemuannya dengan bekas pekerjanya yang juga warga Indonesia di stesen bas Masai awal tahun ini membongkar misteri kehilangan Ida.
Menurutnya, lelaki yang dikenali sebagai Roslan itu ada menemui Ida di Tanjung Pinang, Indonesia, dan diminta menyerahkan nombor telefonnya jika bertemu ibunya.
Melalui perbualan telefon katanya, Ida mendakwa dia ditahan Imigresen dan dihantar ke Indonesia kerana salinan sijil kelahiran yang dimiliki dikatakan palsu.
“Ketika menumpang di Masjid Tanjung Pinang, seorang wanita warga emas telah membawanya pulang ke Lombok dan mengahwinkan Ida dengan anak lelakinya,” katanya.