Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Sabtu, 28 Disember 2013

Kerana ‘Menuntut Hak, Menebus Masa Silam',Tan Sri Muhammad Ali pulangkan tiga darjah kebesaran


SHAH ALAM - Gara-gara artikel ‘Menuntut Hak, Menebus Masa Silam’ yang ditulisnya, bekas Presiden Johor Corp (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim disifatkan menderhaka kepada Raja.

Menurut Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, artikel berkenaan menyebut nama Tanjung Puteri yang merupakan nama asal Johor dan dikhuatiri artikel itu disalah tafsir oleh sesetengah pihak yang mengaitkannya dengan Sultan Johor.

Semalam, Muhammad Ali telah memulangkan semula ketiga-tiga darjah kebesaran yang pernah diterima iaitu Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ), Darjah Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Setia Mahkota Johor (SMJ).

Malah menurut beliau, ekoran tidak dapat menerima dakwaan tersebut, Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia itu akui terpaksa membuat kenyataan melalui media bagi menjelaskan perkara tersebut.

“Kenyataan itu dibuat secara spontan dalam satu sidang media yang diadakan oleh beliau (Abdul Rahim). Jadi, ia satu kenyataan umum tanpa terlebih dahulu mendapat penjelasan daripada saya.

“Jadi, saya anggap itu satu tuduhan dan hukuman dilakukan oleh beliau, sama ada dengan persetujuan jemaahnya sekali (atau tidak)...saya tak tahu,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu tidak menerima apa-apa maklum balas dari pihak tersebut selepas mengirim surat rasmi bertarikh 18 Disember lalu.

“Saya terpaksa membuat kenyataan media ini. Tetapi oleh sebab Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor telah memulakan isu ini dengan membuat kenyataan di media secara terbuka, itu tuduhan dan hukuman yang tak dapat saya terima. Lebih-lebih kerana saya tidak pernah diminta memberi penjelasan sebelum itu.

“Saya telah menulis surat kepada mereka bertarikh 18 Disember dan saya maklumkan bahawa dalam tempoh tujuh hari, saya akan serah (darjah kebesaran). Dalam tempoh itu, saya tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak istana Johor, maka saya ambil keputusan untuk membuat kenyataan media,” katanya.

Beliau menekankan bahawa khidmat bakti selama 30 tahun di JCorp antara bukti nyata taat setia dan sanjungan tinggi kepada kerajaan negeri Johor dan institusi raja.

“Saya telah mencurahkan segala-galanya untuk membina JCorp sekali gus membangun ekonomi negeri Johor selain meningkatkan ekonomi bangsa Melayu.

“Saya tidak rela khidmat sepanjang kerjaya yang diamanahkan, diperlekeh kerana sesungguh ia bukti nyata taat setia dan sanjungan tinggi yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri dan institusi raja,” katanya.(SH)

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular