Para pengunjung masih menggunakan khidmat sebuah kedai buku Andalus untuk mendapatkan bahan rujukan mereka.SINGAPURA - BUKU-BUKU agama yang dijual di kedai-kedai peniaga Melayu di sini masih dapat terus bertahan meskipun terdapat saingan sengit daripada kedai buku dalam talian, yang baru-baru ini telah menyebabkan gedung buku Borders tutup kedai.
Tinjauan wartawan mendapati, beberapa kedai itu masih menjalankan perniagaan mereka, walaupun sesetengah melaporkan perniagaan mendatar sejak beberapa bulan lalu.
Namun, sebuah kedai pula, Darul Andalus, merancang untuk meluaskan perniagaannya dengan membuka cawangannya yang ketiga.
Pengerusi Lembaga Pengarah Darul Andalus, Encik Abdullah Othman, berkata pihaknya merancang membuka sebuah cawangan baru, sama ada di barat atau utara Singapura.
Ini supaya syarikat tersebut dapat memanfaatkan pembelian secara lambak, sekali gus mampu menawarkan harga yang rendah dan lebih bersaing.
Darul Andalus kini mempunyai dua cawangan, di Wisma Indah dan Golden Landmark.
Sekitar 60 peratus buku yang dijual mereka adalah buku teks bagi institusi pengajian agama setempat.
'Kami optimis orang Melayu masih suka membaca. Pesta Buku yang diadakan buat tahun ke-10 tahun ini satu bukti ia masih popular.
'Kami juga sering ke pesta buku di Jakarta dan Kuala Lumpur untuk mendapatkan tajuk-tajuk baru yang menarik.
'Orang kita juga masih gemar baca buku agama dalam bahasa Melayu,' kata Encik Abdullah.
Toko Buku Haji Hashim pula sering mencatatkan penjualan buku yang tinggi apabila sesebuah tajuk buku agama dalam bahasa Melayu disarankan para asatizah di masjid- masjid atau ia diiklankan.
Namun, penjualan buku agama dalam bahasa Inggeris mendapat saingan sengit daripada kedai buku dalam talian kerana buku-buku tersebut mudah terdapat di Internet dengan harga yang lebih murah.
Menurut kedai-kedai buku yang menjual buku-buku agama dalam bahasa Inggeris, seperti Wardah Books dan Muslimedia.com, persaingan daripada kedai-kedai buku dalam talian amat dirasakan.
Namun, mereka masih mampu bernafas dan menyifatkan pelanggan tetap masing-masing sebagai 'penyambung nyawa'.
