JAKARTA - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu melihat hubungan dua hala dan kerjasama Malaysia-Indonesia dilonjakkan ke tahap lebih tinggi demi kepentingan dan faedah bersama.
Baginda mahu lebih banyak usaha dijana secara aktif dan produktif membabitkan pihak di semua peringkat dalam semua bidang bagi meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan baik antara kedua-dua negara, walaupun perlu menempuh pelbagai rintangan·
"Beta menghargai komitmen dan peranan yang dimainkan oleh Malaysia dan Indonesia dalam menangani isu-isu berkepentingan bersama di peringkat serantau dan antarabangsa·
"Beta percaya komitmen bersama antara kedua-dua negara dapat diteruskan demi kemakmuran bersama dan kestabilan rantau ini," titah baginda pada majlis Jamuan Malam Rasmi oleh Kerajaan Indonesia di Istana Negara, Ahad malam.
Baginda bertitah keakraban hubungan yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia adalah sangat istimewa antara dua negara yang berjiran tetangga.
"Beta amat berpuas hati dengan usaha-usaha yang sudah dan sedang dijalankan kedua-dua kerajaan Malaysia dan Indonesia untuk merapatkan dan memperkukuhkan kerjasama politik, ekonomi dan sosiobudaya antara Malaysia dan Indonesia," titah baginda.
Tuanku Mizan yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, turut menerima anugerah tertinggi Indonesia Bintang Republik Indonesia Adipurna yang disampaikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Merdeka, di sini, kelmarin.
