Pasangan kekasih ini sempat bertanya khabar antara satu sama lain sebelum mereka masuk ke dalam kamar bicara untuk menghadapi pertuduhan atas satu kesalahan jenayah syariah.
DUNGUN – Sepasang kekasih yang menghadapi pendakwaan di mahkamah nyaris bermalam di sebalik tirai besi apabila mereka dijatuhkan hukuman denda atau penjara, selepas kedua-duanya didapati bersalah oleh mahkamah atas pertuduhan yang dikenakan.
Proses pendakwaan di Mahkamah Rendah Syariah Dungun itu dibuat susulan satu tangkapan ke atas pasangan terbabit ketika mereka berada di sebuah chalet berdekatan simpang ke kampung Durian Mentangau, dekat sini awal Jun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 3.20 pagi, 4 Jun 2012 di bilik penginapan Chalet Jalan Paka itu, kedua-duanya didapati berada di dalam bilik tersebut sehingga boleh menimbulkan syak wasangka.
Ketika serbuan, pintu dikunci dari dalam menyebabkan pegawai penguat kuasa syariah terpaksa menggunakan kunci pendua untuk membuka pintu bilik.
Setelah pintu berjaya dibuka, pemeriksaan mendapati pasangan lelaki sedang berbaring di atas tilam manakala pasangan perempuan pula bersembunyi di dalam bilik air.
Tertuduh lelaki, Asmiezal Ismail, 31, seorang buruh kontrak dan pasangannya, Noor Fatimah Yahya, 28, bagaimanapun mengaku bersalah dan kedua-duanya didenda RM2,500 atau dua tahun penjara jika gagal menjelaskan denda.
Asmiezal yang beralamat dari Jalan santong Paka dan pasangannya dari Kota Tinggi itu bagaimanapun menjelaskan denda.