Para peserta Mesyuarat AWGCC bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
BANDAR SERI BEGAWAN - Brunei Darussalam adalah sebuah negara kecil yang lebih terdedah kepada kesan perubahan iklim, terutama apabila isu-isu itu membabitkan transnasional.
Penubuhan Unit Perubahan Iklim di Kementerian Pembangunan pada Julai 2011 sebagai titik utama yang bertanggungjawab dalam menyelaraskan usaha di kalangan pihak yang berkepentingan dan isu-isu berkaitan perubahan iklim telah memperlihatkan komitmennya dalam menangani isu tersebut.
Unit Perubahan Iklim juga merupakan titik utama Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai perubahan iklim dan Kyoto Protokol, jelas Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi Abdullah ketika merasmikan Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN mengenai perubahan iklim kali ketiga (AWGCC), yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Gadong, hari ini.
Sepanjang dekad atau lebih, telah ada contoh yang mencukupi bagi bencana alam di sekitar rantau ASEAN yang telah pun meragut ratusan atau ribuan nyawa orang dan ini menunjukkan betapa terdedahnya kita di rantau Asia Tenggara kepada keadaan persekitaran yang sentiasa berubah.
Memandangkan mesyuarat kumpulan kerja ini adalah kali yang ketiga, beliau dalam ucapannya menggesa para peserta untuk meningkatkan momentum mesyuarat supaya tindakan segera dapat diambil untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.
Beliau turut menyentuh mengenai tiga elemen yang difikirkan akan meninggalkan kesan yang meluas dalam usaha untuk mengurangkan perubahan iklim dan kesannya kepada masyarakat dan ekosistem.
Pertama, katanya, peralihan daripada ekonomi berasaskan karbon tinggi konvensional kepada ekonomi karbon rendah dan melaluinya, akan membuat kita lebih berdaya tahan kepada harga komoditi dan tenaga yang tidak menentu dalam dunia masa depan yang tidak menentu.
"Bagaimana untuk mengekalkan pertumbuhan yang kukuh di sebalik mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau? Adakah kita boleh memperoleh teknologi yang diperlukan dari negara maju?
"Ekonomi karbon rendah masih dalam peringkat eksperimen dan kos untuk membangunkan beberapa teknologi ini masih tinggi dan bolehkah teknologi LCE dibuat lebih berdaya saing?
"Semua ini adalah sebahagian dari isu-isu asas dan soalan yang masih mencabar kita dan saya berharap AWGCC akan mempertimbangkan soalan-soalan ini dalam perbincangan mesyuarat," katanya.
Kedua, ujarnya, isu aliran utama perubahan iklim ke dalam perancangan pembangunan.
'Aliran utama' di sini melibatkan integrasi pengurangan dan langkah-langkah penyesuaian perubahan iklim ke dalam perancangan pembangunan.
Aliran utama bukanlah satu konsep baru, ia hanya menggabungkan prinsip pengurangan dan penyesuaian kepada perubahan iklim ke dalam pelan pembangunan, program dan projek dan ia seakan konsep pembangunan inklusif ke dalam pelan dan program.