KUALA LANGAT - Sebuah sekolah menengah di sini, terpaksa bercuti sehari, semalam, selepas lebih 60 pelajar sekolah itu mengalami histeria dalam dua kejadian berasingan dalam tempoh seminggu dengan kali terakhir, kelmarin.
Kejadian bermula apabila seorang perempuan diserang histeria pada Selasa lalu diikuti keesokannya 60 pelajar lain termasuk dua pelajar lelaki yang belajar sesi pagi dan petang sekolah berkenaan turut ‘dijangkiti’ histeria.
Difahamkan kejadian itu berlaku mungkin berpunca daripada aktiviti pembersihan hutan kecil yang terletak kurang 100 meter di belakang sekolah.
Seorang pekerja sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Ani berkata, tapak hutan terbabit milik persendirian yang dibersihkan seminggu lalu sebelum dijual kepada seorang individu bagi membina kilang dan membangunkan kawasan itu.
Katanya, sebelum ini tiada kejadian seperti itu berlaku di sekolah berkenaan sehingga kerja penebangan dan pembersihan pokok dilakukan.