Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Rabu, 30 Mac 2011

Hakim tarik diri dengar saman SYABAS terhadap Selangor



KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Anantham Kasinather, hari ini menarik diri daripada mendengar kes saman RM471.64 juta yang difailkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) terhadap kerajaan negeri Selangor berhubung kadar tarif air.

Sehubungan itu, kes tersebut akan didengar oleh Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 April untuk pengurusan kes.

Peguam Fahda Nur yang mewakili Selangor memberitahu pemberita perkara itu dimaklumkan Hakim Anantham kepada pihak terbabit selepas menjelaskan sebab beliau menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Bagaimanapun, Fahda dan peguam Datuk Harpal Singh yang mewakili SYABAS, enggan mengulas lanjut berhubung sebab hakim berkenaan menarik diri.

Pada 10 November lalu, SYABAS memfailkan saman pemula menuntut satu deklarasi bahawa berdasarkan perjanjian konsesi bertarikh 15 Disember 2004, Selangor telah berhutang dengannya sebanyak RM471,642,916 bagi tempoh 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2009.

SYABAS mendakwa menerusi perjanjian itu yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia, Selangor dan syarikat itu, ia telah diberikan konsesi selama 30 tahun untuk membeli air terawat daripada operator rawatan air dan membekalkannya ke kawasan pengagihan menurut terma yang tertera dalam perjanjian berkenaan.

Katanya, melalui surat bertarikh 31 Mac 2008, SYABAS telah menghantar dokumen penyemakan kepada defendan bagi menyokong permohonan syarikat itu untuk menaikkan tarif diwartakan yang sedia ada, iaitu RM1.39/m3 kepada tarif dipersetujui iaitu RM1.89/m3, bagi tempoh operasi ketiga mulai 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2011.

Syarikat itu mendakwa defendan telah gagal untuk memaklumkan kepadanya sama ada ia bersetuju menaikkan tarif diwartakan yang sedia ada kepada tarif dipersetujui.

Kerajaan negeri Selangor juga didakwa gagal memberikan maklum balas yang memuaskan berhubung tuntutan pampasan oleh Syabas selaras dengan perjanjian konsesi tersebut.

Sehubungan itu, SYABAS menuntut kerajaan negeri Selangor membayar jumlah itu serta-merta.

Sementara itu, afidavit balasan kerajaan negeri Selangor yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Datuk Ramli Mahmud, pula mendakwa permohonan SYABAS adalah penyalahgunaan proses mahkamah, kerana industri air sedang melalui satu proses penstrukturan semula menurut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Ramli mendakwa perjanjian konsesi tidak memberikan hak automatik kepada SYABAS untuk mendapatkan pengubahsuaian kepada tarif yang diwartakan pada setiap tarikh semakan seperti didakwa plaintif.

Katanya, semakan tarif perlu dibuat selaras dengan terma dan syarat di dalam perjanjian, antaranya, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor perlu bersetuju dengan semakan itu.

Ramli turut mendakwa dokumen semakan yang diserahkan oleh SYABAS tidak memenuhi keperluan perjanjian konsesi dan tidak ada tarif yang telah dipersetujui.

Oleh itu, katanya, tidak timbul isu bahawa kerajaan negeri Selangor bercadang mengenakan tarif lebih rendah daripada tarif dipersetujui seperti yang termaktub dalam perjanjian. - BERNAMA

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular