
ALOR GAJAH – Pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) diharap dapat menaik taraf Kolej RISDA kepada sebuah kolej universiti pada tahun depan iaitu setahun lebih awal daripada sasaran.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, RISDA kini berusaha membangunkan aspek sumber manusia, mengemas kini kurikulum dan kemudahan infrastruktur bagi tujuan menaik taraf kolej tersebut.
"Pihak Kolej RISDA akan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kolej RISDA di Air Pa”abas di sini, hari ini.
Mohd Shafie berkata, langkah menaik taraf itu adalah bagi melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi khususnya dalam bidang pertanian.
Kolej Risda, yang diwujudkan pada 1999 adalah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tekonologi Mara (UiTM), menawarkan diploma dan sijil dalam bidang pertanian, pengurusan perniagaan, pengurusan ladang, pengurusan lanskap, keusahawanan dan sains komputer. – Bernama