
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, hari ini membuat laporan polis berhubung sebuah komik yang memaparkan karikatur lucah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pelbagai aksi.
Beliau berkata, komik bertajuk "Kisah Juara Raja Lawak" yang mengandungi 16 halaman itu telah mempersendakan Anwar yang juga bapanya dan komik berkenaan telah dihantar di kawasan Parlimennya di Lembah Pantai.
Nurul Izzah membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira 2.40 petang hari ini.
Turut mengiringi beliau empat orang termasuk Ketua Pemuda PKR cabang itu, Abdullah Izhar Yusof.
"Komik itu dihantar melalui pejabat pos di Shah Alam dan seorang daripada penduduk (Lembah Pantai) telah memaklumkan kepada saya bahawa dia telah menerima bungkusan yang mengandungi komik berkenaan baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.
Dalam laporannya, Nurul Izzah mendakwa pengedaran komik itu berniat jahat bagi menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Anwar serta beliau sendiri sebagai anak sulungnya.
"Jadi saya membuat laporan polis itu supaya polis dapat menyiasat pihak yang menerbit dan mengedarkan komik berkenaan," katanya. - BERNAMA