BANDAR SERI BEGAWAN - Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah Musyawarah Sekretariat ke-17 Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (MABBIM) yang akan berlangsung pada 3 hingga 4 Oktober di Mangrove Paradise Resort.
Musyawarah Sekretariat ini merupakan sidang satelit yang mempertemukan urus setia akar umbi ketiga-tiga negara anggota MABBIM.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, antara agenda yang akan dibincangkan ialah menyemak dan meneliti pelaksanaan rencana kerja MABBIM yang dipersetujui dalam Sidang Eksekutif ke-50 MABBIM di Jakarta, Indonesia pada bulan Mac yang lalu, dan menyelesaikan masalah penyeragaman istilah MABBIM dalam bidang ilmu dasar iaitu matematik, biologi, fizik dan kimia.
Di samping itu agenda lain yang turut dibincangkan ialah membahaskan persiapan sambutan ulang tahun ke-40 MABBIM pada bulan April 2012, di Brunei Darussalam.
Antara pengisian sambutan ulang tahun ke 40 MABBIM yang akan dibahaskan ialah pemberian penghargaan tokoh MABBIM dan pakar bidang ilmu yang telah menjayakan dan merealisasikan penggubalan istilah sejak beberapa tahun kebelakangan.
Semasa sambutan itu nanti, satu seminar kebahasaan yang bertemakan "Mentransformasikan Budaya Ilmu untuk Menyerlahkan Jati diri Bangsa" dalam rangka Sidang Pakar ke-24 dan Sidang Eksekutif ke-51 MABBIM di Brunei Darussalam akan menampilkan sepuluh pembentang kertas kerja dari negara anggota MABBIM dan Singapura.