
KUALA LUMPUR: Satu tabung asid deoksiribonukleik (DNA) perlu diwujudkan bagi setiap bayi yang baru lahir untuk membantu menyelesaikan kes buang bayi di masa depan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata, pewujudan tabung berkenaan akan memudahkan polis mengenal pasti ibu bapa yang bertanggungjawab ke atas pembuangan bayi di masa akan datang.
"Walaupun memakan masa yang lama dan kos yang tinggi, namun itu saja langkah terbaik untuk menangani kes pembuangan bayi di negara ini," katanya selepas melancarkan Kempen Balik Kampung, Rumah Selamat di IOI Mall Puchong dekat sini, hari ini.
Khalid berkata, penubuhan tabung itu perlu memandangkan kes pembuangan bayi sejak kebelakangan ini semakin meningkat dan tidak menampakkan jalan penyelesaian.
Sepanjang tahun ini, 75 bayi yang terdiri daripada 26 lelaki dan 25 perempuan serta 24 janin yang tidak diketahui jantinanya, dilaporkan telah dibuang.
Tahun lalu, 79 kes pembuangan bayi dicatatkan iaitu 25 bayi lelaki, 29 perempuan dan 25 janin yang tidak dikenal pasti jantinanya.
