Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Sabtu, 28 Ogos 2010

Suami Jatuh Cinta Dengan Gadis Indonesia




MELAKA: Usianya sudah 40-an tetapi ia tidak membataskan nafsu pelik seorang lelaki kasanova apabila galak memburu wanita yang kebanyakannya berstatus janda hingga meminggirkan keluarganya.

Dia dikatakan pakar menjerat wanita dengan hanya menggunakan kata-kata manis, penampilan baik dan gaya berpakaian kemas, sekali gus menutup kekurangannya.

Ketika mendedahkan perkara itu, isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsiah, 50-an, berkata dia kini tidak mengharapkan apa-apa daripada suami, sebaliknya mahu menuntut hak dan nafkah di mahkamah syariah.

Katanya, sifat kemaruk wanita lain menyebabkan suaminya lalai dalam menunaikan tanggungjawabnya dan hanya tahu melaram ketika keluar rumah hampir setiap hari sambil berlagak seperti orang muda.

“Selain pandai memujuk saya dengan kata-kata lemah lembut, suami yang tidak bekerja hampir setiap hari akan bersiap dengan kemas untuk keluar dan pulang apabila larut malam. Dia selamba meminta wang daripada saya dan anak untuk perbelanjaannya tanpa rasa malu.

“Kami ada perang mulut tetapi dia tidak pernah pukul saya, sebaliknya memberi tekanan dengan cara lain apabila menjalin hubungan dengan ramai wanita, tidak kira anak dara atau janda mahupun pelajar sekolah, dan menghabiskan wang simpanan saya menyebabkan saya hampir jadi gila,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Alai, dekat sini.

Shamsiah berkata, tujuannya mendedah penderitaan hidupnya disebabkan sudah putus harapan untuk mengesan suaminya yang dipercayai mengikut seorang ustazah bergelar janda beranak empat di utara tanah air.

“Nasib saya tidak ubah seperti membela seekor biawak hidup kerana dengan berbekalkan wang gaji saya sebagai pengasuh pada siang hari dan bekerja di kedai makan pada waktu malam, sudah cukup menjadi modal hariannya.

“Saya pernah menegur tingkah lakunya kerana wang gaji saya peroleh sering tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga dan juga persekolahan anak, namun dia tidak ambil peduli,” katanya.

Menjelaskan nasibnya, Shamsiah berkata, suaminya bijak berlakon dengan sifat lemah lembut memujuknya hingga dirinya ‘diperbodohkan’ sepanjang perkahwinan mereka sejak 18 tahun lalu.

Katanya, tembelang si suami terbongkar perlahan-lahan selepas anak bongsunya berusia setahun.

“Pada masa itu baru saya tahu selama ini dia (suami) pandai bermain kata-kata penuh dengan pujuk rayu. Kesudahannya habis duit pampasan kerja kilang dulu dan sebahagian duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lesap kira-kira RM30,000 dikeluarkan suami.

“Malah rumah yang saya beli di Lubok Redan, Masjid Tanah berharga RM45,000 turut digadainya dan satu sen pun wang tidak diberi,” katanya.

Menurutnya, dia yang juga janda sebelum ini berkenalan dengan suaminya ketika bekerja di sebuah kilang di Ayer Keroh.

“Suami bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pada awal perkenalan saya tertarik dengan sikapnya yang baik dan pandai memujuk hingga saya bersetuju menikahinya.

“Mula-mula saya tidak tahu suami sudah beristeri namun selepas berkahwin pada 28 September 1992, baru saya tahu saya isteri kedua.

“Saya pernah meminta dia mempertemukan dengan isteri pertama yang juga janda beranak dua, namun suami enggan dan memberi pelbagai alasan, sedangkan tujuan saya baik,” katanya.

Menurutnya, di awal perkahwinan kehidupannya baik sebelum tiba-tiba suami menjalin hubungan dengan seorang gadis warga Indonesia yang dijadikan anak angkat pada 1997 di kilang sama dan tidak pulang ke rumah selama dua bulan.

Katanya, apabila pengurusan kilang mengetahui masalah itu, dia dibawa bertentang mata dengan gadis Indonesia itu yang diberi amaran supaya tidak lagi menjalin hubungan dengan suami orang atau dihantar balik ke negara asal.

“Apabila perkara itu terbongkar, suami pula bertindak licik apabila melarikan diri bersama gadis itu dan tinggal di sebuah rumah di Taboh Naning, Alor Gajah.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular