SEORANG remaja menukar ekzos motosikalnya daripada disaman dalam Ops Ambang Merdeka di hadapan Hospital Melaka semalam.
MELAKA – Gara-gara menukar ekzos motosikal, dua remaja yang ditahan dalam Ops Ambang Merdeka di hadapan Hospital Melaka di sini awal pagi semalam bukan sahaja nyaris disaman malah terpaksa mengambil semula ekzos yang asli di rumah masing-masing.
Namun bukan mereka yang berbuat demikian, sebaliknya dua rakan mereka yang berjaya melepasi sekatan terpaksa mengambil ekzos tersebut di rumah mereka di Sungai Udang, kira-kira 20 kilometer dari bandar ini.
Malah lebih melucukan, selepas ekzos yang asal itu tiba di lokasi mereka ditahan, kedua-dua remaja itu terpaksa memasangnya kembali pada motosikal masing-masing.
Kejadian berlaku sebaik sahaja kedua-dua remaja itu ditahan pada pukul 1.15 pagi dalam Ops Ambang Merdeka selama enam jam itu.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Deputi Supritendan Norhalid Kimi berkata, polis mendapati ekzos motosikal mereka jenis Honda Wave 125 telah diubah suai untuk bunyi yang lebih kuat.