Tujuh daripada sembilan beradik melukis kad hari raya merayu kepulangan ibu bapa sempena Aidilfitri tahun ini.KUALA KRAI: Perasaan sedih menyelubungi jiwa sembilan beradik kerana sanggup bersusah payah menghasilkan sekeping kad hari raya semata-mata menagih kepulangan ibu bapa yang menghilangkan diri tanpa berita sejak setahun lalu
Hanya perkataan ‘Selamat Hari Raya Mama dan Papa’ menghiasi sekeping kad manila berwarna kuning, manakala tujuh tapak tangan menjadi simbolik rayuan kepulangan ibu bapa mereka, selain menjadi saksi pengikat silaturahim mereka adik beradik.
Biarpun tidak dapat merungkai isi sebenar kad terbabit, namun jauh di sudut hati sembilan beradik terbabit ingin menatap wajah ibu bapa di depan mata, apatah lagi kemuncak lebaran yang semakin hampir tidak lama lagi.
Wartawan Metro Ahad yang berkunjung ke rumah sembilan beradik terbabit di Kampung Tengah, di sini, petang kelmarin, terharu dengan kesungguhan anak kecil terbabit menghasilkan kad raya untuk ibu bapa mereka.
Walaupun sedar impian bertemu kembali ibu bapa yang ‘ghaib’ belum pasti, mereka tetap berusaha menghasilkan dengan sekreatif mungkin dengan matlamat unk bertemu kembali pada Aidilfitri tahun ini.
Kesungguhan mereka terbukti kerana mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menghasilkan kad hari raya terbabit dan teruja menulis bait perkataan mengandungi 1,001 mesej kasih sayang dengan diselangi cap tapak tangan.
Sembilan beradik terbabit iaitu Nor Hidayah Mahadi, 13, Amirul Rizal, 11, Afiq Asyraf, 10, Natasha Emilia, 9, Arif Hafizi, 7, kembar Airin Puteri dan Adlin Puteri, 4, Naqiuddin, 3, dan Nia Khalisa, 2, hanya mampu tersenyum di sebalik kad terbabit.
Namun, kesayuan hati mereka tidak siapa tahu kerana masing-masing seperti membisu seribu bahasa dan enggan meluahkan isi hati, walaupun sedar sudah lama kering air mata menanti saat paling terindah dalam hidup mereka untuk bertemu kembali dengan ibu bapa.
Sebaik selesai menghasilkan kad terbabit, Amirul Rizal yang juga anak kedua pasangan Kasmaliza Kassim, 29, dan Mahadi Che Mansur, 31, berkata mereka lima beradik teruja untuk bertemu kembali dengan ibu bapa sempena Aidilfitri.
Namun hanya beberapa perkataan terkeluar daripada mulut kanak-kanak terbabit apabila meluahkan isinya; ‘mama dan papa baliklah, kami adik beradik rindukan kamu. Raya tahun ni kami nak raya bersama mama dan papa’.
