Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Selasa, 3 April 2012

Maut dilanggar bot di Singapura

Anak sulung Allahyarham Hamidzan tidak dapat menahan air mata melihat bapanya dikebumikan.





SINGAPURA - BOT persiaran yang terlibat dalam nahas di perairan dekat Terminal Penjuru di Jurong pagi Sabtu lalu telah dilanggar dua kali oleh sebuah bot yang empat hingga lima kali ganda lebih besar daripadanya.

Bot yang dinaiki 10 lelaki warga Singapura itu sedang menuju ke Pulau-Pulau Selatan bagi tujuan memancing sebelum kemalangan itu berlaku.

Akibatnya, dua daripada mereka terkorban, dan dua lagi dirawat di hospital.

Lebih buruk lagi, bot yang melanggar bot persiaran itu dikatakan tidak berhenti untuk menghulurkan bantuan, malah meneruskan perjalanan.

Penganjur kegiatan memancing itu, Encik Mohammad Swanoo, 43 tahun, berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui selepas jenazah salah seorang mangsa korban kemalangan itu dikebumikan semalam.

Jenazah Allahyarham Hamidzan Abdullah, 34 tahun, yang sebelum ini dikatakan hilang, ditemui pada 11.16 malam kelmarin dekat Sungai Jurong oleh sebuah bot yang disewa keluarganya untuk mencari beliau.

Isteri Allahyarham, Cik Azlifah Yahya, 32 tahun, difahamkan berada di dalam bot yang menemui jenazah Allahyarham itu.

Menceritakan semula apa yang berlaku, Encik Mohammad berkata bot yang mereka naiki berlepas dari Sungai Jurong sekitar 9.20 pagi.

Sekitar 10 minit kemudian, sebuah bot tunda kelihatan menghampiri bot mereka dari belakang dengan laju.

Beliau memberitahu jurupandu bot yang dinaikinya bahawa bot tunda tersebut sudah terlalu dekat dengan mereka dan jurupandu itu segera membunyikan hon.

Namun, menurutnya, bot tunda itu melanggar bahagian kiri bot mereka dari belakang, menyebabkan bot mereka terpesong ke kanan sehingga jaraknya dengan batu-batu di tepian hanya tiga atau empat meter sahaja.

Encik Mohammad berkata: 'Dengan terus membunyikan hon, jurupandu bot kami menekan minyak untuk memintas ke kiri bagi mengelak daripada melanggar batu dan bot tunda itu.

'Tapi bot terus berlalu laju melanggar bot kami sekali lagi hingga bot kami terbalik 90 darjah...

'... seorang teman saya, Iskandar, terjatuh ke dalam laut sementara tiga lagi terjun ke dalam laut untuk selamatkan diri.

'Saya melambai-lambai mereka dalam bot tunda itu meminta mereka membantu kawan-kawan saya di dalam air tetapi mereka hanya tengok sebelum meneruskan perjalanan, dan hanya berhenti apabila mereka berada sekitar 200 meter dari kami.'

Difahamkan, pihak berkuasa telah menjejaki bot tunda itu dan sedang menyiasat.

Mangsa korban pertama ialah Allahyarham Husin Mohd Yunos, 49 tahun, yang disahkan meninggal dunia di Jurong Fishery Port pada 10.48 pagi Sabtu lalu.

Selang sehari selepas Allahyarham Husin disemadikan di Pusara Abadi kelmarin, jenazah Allahyarham Hamidzan pula dikebumikan petang semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia enam, lapan dan 15 tahun.

Cik Azlifah terlalu sedih untuk diwawancara ketika ditemui di tanah perkuburan.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular