Shanti menunjukkan laporan polis dibuatnya.
KUALA LUMPUR - Impian indah seorang janda beranak tiga untuk melangsungkan perkahwinan yang dirancangkan bulan ini musnah selepas teman lelakinya bukan sekadar menghilangkan diri, malah turut melarikan wang RM30,000 miliknya.
Wanita berusia 29 tahun itu menyerahkan RM30,000 ketika kali terakhir berjumpa lelaki terbabit di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada 29 dan 30 Jun lalu dan wang berkenaan kononnya untuk membeli barang hantaran serta urusan majlis perkahwinan mereka.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Shanti, 29, berkata, dia bersedia menyerahkan wang berkenaan pada dua pertemuan berkenaan kerana yakin dengan kesungguhan teman lelakinya itu mahu memperisterikannya walaupun mereka baru sebulan berkenalan.
Shanti berkata, dia mengenali lelaki berusia 20-an itu melalui seorang rakan dan bersetuju berkahwin selepas tertarik sikapnya mengambil berat terhadap dirinya serta anak-anak.
“Kami bertemu buat kali pertama pada akhir Jun lalu dan dalam pertemuan itu, dia menyatakan jatuh cinta pandang pertama terhadap saya dan mahu mengambil saya sebagai isteri.