DR. MOHAMAD Khir Toyo ditemani isteri Zaharah Kechik berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo telah mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara setahun bagi kesalahan mendapatkan untuk beliau dan isteri, Zaharah Kechik dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.
Notis rayuan difailkan oleh peguamnya, M.M. Athimulan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 3.30 petang, kira-kira empat jam selepas hukuman penjara itu dijatuhkan oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.
''Ini bukan proses penghakiman terakhir buat saya kerana saya akan merayu mengenai keputusan ini kepada mahkamah yang lebih tinggi,'' katanya semasa ditanya oleh pemberita di luar mahkamah sebaik sahaja prosiding kesnya selesai.
Berhubung masa depan politiknya, Mohamad Khir berkata, beliau akan membuat kenyataan mengenai perkara tersebut selepas 9 Januari tahun depan tetapi enggan mengulas lanjut mengapa tarikh tersebut yang dipilih.
Terdahulu, selain hukuman penjara terhadap Mohamad Khir yang disabit bersalah atas tuduhan itu, Hakim Mohtarudin (kini Hakim Mahkamah Rayuan) turut mengarahkan hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia.
Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dan perintah pelucutan hak itu sehingga rayuan Mohamad Khir selesai didengar serta diputuskan.
Mohamad Khir yang dilihat tunduk sepanjang prosiding ditenangkan oleh Zaharah yang bertindak menggosok-gosok bahu suaminya itu sebaik sahaja sabitan dan hukuman diputuskan.