Basri (kiri) bersama Abu Hashim ketika menunjukkan lokasi dipercayai merupakan asal usul nama Kampung Bongek.
BONGEK – "Saya tak kecil hati kalau orang luar sukar sebut nama kampung kami ini," kata Basri Hasan, 71, anak jati Kampung Bongek, di sini.
Bagaimanapun, Basri berharap, orang ramai memperbetulkan sebutan namanya berikutan kampung berkenaan mempunyai sejarah keistimewaan tersendiri.
Basri yang kini merupakan Pensyarah (Dosen) Islamic Educational Institution Perguruan Diniyyah Puteri Padang Panjang di Sumatera Barat berkata, nama kampung berkenaan diperolehi berikutan penemuan mata air panas oleh masyarakat Minangkabau dari Acheh seawal 1773 yang ikut merantau ke situ bersama Raja Melewar.
Menurutnya, sememangnya lumrah masyarakat zaman dahulu untuk membina penempatan berdekatan sungai kerana mereka menjadikannya sebagai panduan arah laluan atau jalan ke penempatan lain.
"Berpandukan kepada sungai, empat suku utama iaitu Seri Lemak, Tanah Datar, Acheh dan Paya Kumbuh berpecah mencari penempatan sendiri. Suku Acheh telah
singgah di dua lokasi berbeza yang kini dikenali sebagai Pulau Acheh dan Bongek Acheh," katanya.
Penerima Anugerah Tokoh Guru 2012 Daerah Rembau berkata, orang Minangkabau yang menjumpai mata air panas telah menggelarkan ia sebagai ‘air hangek', manakala, kedudukannya dalam paya dalam bahasa sanskritnya disebut sebagai ‘bonchah'.
"Disebabkan ia disebut sebagai 'bonchah hangek' secara berulang kali oleh penduduk, lama kelamaan sebutan tersebut disingkatkan dan menjadi nama kampung seperti
sekarang ini iaitu 'Bongek'," katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kini orang ramai boleh melihat sendiri kewujudan mata air panas di kawasan paya yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama perkampungan itu.