Ibrahim memegang sebilah keris yang didakwanya milik pahlawan Melayu Hang Tuah dan keris berkenaan pernah ditawarkan dengan harga RM2 juta oleh individu dari ibu kota.
BESUT - Seorang warga emas berumur 90 tahun memiliki sebilah keris antik yang didakwa milik legenda hulubalang Melayu Laksamana Hang Tuah.
Ibrahim Ahmad seorang pengusaha sotong kering dan bomoh terkenal di sini mendakwa, keris milik Hang Tuah itu juga pernah ditawarkan dengan harga RM2 juta oleh individu dari Kuala Lumpur.
Ibrahim yang mesra dengan panggilan Pak Long berkata, orang tengah (broker) dari Lembah Klang bersama beberapa pakar keris datang ke rumahnya untuk menguji keris tersebut terlebih dahulu.
“Mereka mengakui keris itu salah satu keris milik Hang Tuah (bukan Taming Sari) setelah melalui beberapa proses ujian secara kerohanian oleh pakar keris dan selepas berpuas hati mereka yang menawarkan harga berkenaan.
“Mulanya saya bersetuju menjual namun pada saat akhir saya terpaksa menolak tawaran tersebut apabila orang tengah berkenaan meminta bahagian wangnya terlalu banyak,” katanya.
IBRAHIM berkata, keris luk sembilan itu amat sukar dikeluarkan dari sarungnya kecuali hanya mereka yang mengetahui rahsia keris dan kebolehan tertentu.
Selain keris berkenaan, Pak Long yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan turut menyimpan 50 koleksi pelbagai jenis senjata tajam unik dan barangan antik lain yang disimpan di rumahnya.
“Dulu saya ada lebih 100 bilah keris atau pedang lama tetapi sebahagian besar saya sudah jual tambahan pula saya semakin tua selain anak cucu tidak begitu berminat dengan koleksi ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya.