PRESIDEN Seniman, Zed Zaidi (dua kanan) menunjukkan surat aku janji bagi memastikan Anzalna (kiri) dan Neelofa tidak lagi membangkitkan kontroversi membabitkan mereka berdua di Petaling Jaya semalam.
KUALA LUMPUR - Hasrat Persatuan Seniman untuk melihat dua pendatang baru dalam dunia lakonan, Nur Anzalna Nasir dan Noor Neelofa Mohd Noor berdamai, sudah pun dilunaskan apabila kedua-dua aktres ini ditemukan dalam satu sidang media di Hotel Royal Bintang Damansara, semalam.
Namun, majlis perdamaian itu tidak pula menampakkan kesungguhan keduadua bekas Dewi Remaja 2010/2011 ini.
Biarpun permohonan maaf telah diungkapkan oleh Anzalna kepada Neelofa pada majlis tersebut, namun mereka tidak langsung memandang wajah masing-masing apatah lagi bersalaman.
Tak lebih dari sekadar sesi tandatangan akujanji, kedua 'Dewi' ini kelihatan dingin sepanjang majlis berlangsung.
Sebelum Anzalna memulakan pengakuan maaf, Zed Zaidi bagi pihak Persatuan Seniman terlebih dahulu memohon supaya perkara tersebut tidak dipanjangkan dan diselesaikan terus pada hari itu.
Ironinya, sebelum permohonan maaf diungkapkan Anzalna, Neelofa mahu ucapan maaf itu dibuat mengikut skrip yang telah disediakan.
Dengan riak wajah selamba, Anzalna yang ketika itu sudah bersedia membuat ucapan sendiri, berkata, "Oh I kena baca ikut apa yang you tulis eh?"
Tidak memanjangkan perkara itu, Anzalna terus mengambil skrip yang disediakan dan membaca kenyataan rasmi tersebut yang bertulis;
Saya Anzalna Nasir dengan nasihat daripada Seniman ingin memohon maaf kepada Neelofa kerana mengeluarkan kenyataan di Berita Harian pada 10 Jun 2012 di muka surat 10 yang telah menjejaskan maruah Neelofa dan keluarganya, dan saya tiada bukti kukuh untuk menyokong kenyataan tersebut.'
Sementara itu, Neelofa yang berpuas hati dengan permohonan maaf tersebut bersyukur apabila perkara itu sudah berakhir.
Menganggap tindakannya itu perlu sebagai mempertahankan diri dan maruah keluarga, Neelofa mengatakan kini terbukti dirinya berada di pihak yang benar.