PADANG BESAR - Pihak berkuasa agama di negeri ini memantau tindakan dua keluarga di daerah ini yang didakwa giat menjalankan aktiviti bertentangan ajaran Islam apabila mengaku Nabi Muhammad bukan rasul terakhir, sebaliknya bermati-matian mendakwa guru mereka dikenali Mirza Gulam Ahmad Qadiani yang sudah meninggal dunia sebagai nabi terakhir.
Keluarga terbabit dipercayai sudah tiga tahun bergiat menyebarkan dakyah berkenaan dan berusaha mencari pengikut.
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, pihaknya maklum mengenai perkara berkenaan dan melakukan pemantauan terhadap pergerakan kumpulan yang menggelar diri ajaran Ahmadiah atau Qadiani.
Menurutnya, selain fahaman kumpulan terbabit, pihaknya memantau beberapa kumpulan lain dipercayai mengamalkan ajaran sesat serta menyebarkan fahaman sesat di negeri ini.
“Kami sukar mengesan kumpulan terbabit kerana mereka menjalankan aktiviti menziarah secara bersembunyi dari rumah ke rumah sekitar daerah ini,” katanya.
