"Kanak-kanak perlu dibimbing supaya suka memberi Salam dan diperbetulkan kefahaman mereka mengenainya jika mereka salah tafsir mengenai-nya." - Ustazah Noor IzzahBANDAR SERI BEGAWAN - "Jangan disalahtafsirkan, dipermainkan atau dipersendakan Salam kerana ia merupakan salah satu daripada 99 nama Allah Ta'ala sebagaimana yang terjadi di negara jiran menerusi drama bersiri televisyen dan wayang yang berjudul "Kum Kum".
Akibat daripada menonton "Kum Kum", ramai kanak-kanak menjadi takut apabila mendengar orang memberi Salam pada waktu malam, ujar Dayang Noor Izzah Haji Abidin dalam
Ceramahnya di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu 'Alaihi Wassalam Pusat Tingkatan Enam (PTE) Katok 1433H. Bukankah sepatutnya kita mengajar kanak-kanak supaya suka memberi Salam dan bukan sebaliknya, tambahnya pada majlis di Dewan Serbaguna PTE berkenaan.
Majlis yang bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat, kedua-duanya di bawah pimpinan Haji Razali Haji Judin itu telah turut dihadiri Pengetua PTE Katok, Hajah Rosni Haji Mohd Amin.
Majlis yang turut diserikan lagi dengan bacaan Dikir Asyrakal beramai-ramai itu antara lain bertujuan bagi menyemarakkan lagi acara keagamaan di PTE Katok dan meningkatkan lagi rasa kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam.
