JEJAK SEJARAH: Cik Deborah Ford dan Tengku Syawal (kanan) melawat kawasan tanah perkuburan di Masjid Malabar. Cik Ford ditemani suaminya, Encik Michael Ford (kiri).
Berita Dari Singapura:
Menjejak 'rahsia' Farquhar di Singapura
NENEK moyang mereka telah mengukir sejarah Singapura pada 1819 dan kini, selepas lebih daripada 180 tahun, keturunan mereka berjumpa di Singapura.
Cik Deborah Ford, keturunan ketujuh mantan Pentadbir Pertama Singapura, William Farquhar, berada di sini bagi menghadiri pameran William Farquhar.
Cik Ford, 60 tahun, yang kini tinggal di Brisbane, Australia, telah berjumpa dengan Tengku Syawal Tengku Aziz, 41 tahun, untuk menyemak sejarah nenek moyang mereka.
Seperti Cik Ford, Tengku Syawal merupakan keturunan ketujuh Allahyarham Sultan pertama Singapura, Sultan Hussein, yang memerintah Singapura dari tahun 1819 ke 1835.
Beberapa fakta yang menarik telah ditimbulkan ketika pertemuan mereka.
Farquhar dipercayai telah berkahwin dengan seorang wanita kacukan Perancis dan Melayu di Singapura dan dikenali sebagai Nyonya Clement.
Pusara wanita itu dipercayai terletak di kawasan perkuburan di belakang Masjid Malabar - dan inilah yang menjadi tumpuan lawatan Cik Ford dan Tengku Syawal petang semalam.
Namun hasrat mereka menjejak pusara wanita itu tidak kesampaian walaupun mereka menghabiskan lebih sejam di tanah perkuburan itu.
Menurut Cik Ford, beliau memang minat dengan salasilah keluarganya.
'Saya tertarik dengan kemungkinan Farquhar beristerikan wanita Melayu. Bahkan saya telah menyelidik dan menulis mengenai Nyonya Clement sewaktu saya menyiapkan kertas kerja bagi memperolehi ijazah saya.
'Saya sering tertanya-tanya, bagaimana seorang wanita berketurunan Melayu boleh berkahwin dengan seorang Inggeris,' ujarnya.
Beliau menambah bahawa bapa Nyonya Clement dipercayai seorang Perancis sementara ibunya pula seorang Melayu.
Menurut Cik Ford, Farquhar mempunyai enam orang anak hasil perkahwinannya dengan Nyonya Clement.
'Saya ke sini untuk mencari pusara Nyonya Clement dan saya terfikir sebagai seorang Melayu mungkin dia dikebumikan di kawasan perkuburan Melayu,' ujarnya lagi.
Ketika diminta mengulas mengenai pertemuan tersebut, Tengku Syawal berkata:
'Saya bersyukur dapat berjumpa dengannya kerana ini menunjukkan ada kesinambungan bagi sejarah silam.
'Dengan ini, kita boleh mengadakan persahabatan yang baru.'
Pameran William Farquhar sedang diadakan di Perpustakaan Negara bermula semalam dan akan berakhir 31 Ogos ini.