Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Khamis, 22 April 2010

Mahkamah Bebaskan 5 pelajar pondok pakai serban

( Foto hiasan )




TUMPAT: Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan dan melepaskan lima pelajar sebuah sekolah pondok atas kesalahan tidak memakai topi keledar tetapi sebaliknya memakai serban ketika menunggang motosikal, dua tahun lalu.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes berkenaan.

Sebaik sahaja Raja Norshuzianna Shakila selesai membacakan penghakimannya, kelima-lima pelajar itu Adli Abd Halim, 22, Ahmad Hafiz Shaari, 24, Mohd Hafizul Mohamad, 22, Mohd Azam Mohd Arifin, 24, dan Che Mohd Noor Che Soh, 28, kelihatan sebak dan beberapa daripada mereka mengalirkan air mata.

Kelima-lima pelajar Pondok Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Yusufiah, Gelang Mas, di sini, ditahan dalam sekatan polis di Kampung Geting, dekat sini, pada jam 12.30 tengah malam, 28 April, 2008, semasa dalam perjalanan pulang dari menghadiri sembahyang jenazah di sebuah masjid.

Mereka didakwa mengikut Kaedah 4 (motosikal topi keledar keselamatan) 1973 dan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Ketika di luar mahkamah, Mohd Hafizul berkata mereka tidak menyangka akan dilepaskan sebaliknya akan dikenakan perintah denda atau penjara.

"Jadi kami sangat terkejut dan gembira dibebaskan oleh majistret dan keadilan telah ditegakkan oleh mahkamah," katanya.

Terdahulu itu, sebelum memasuki mahkamah, lebih 50 rakan mereka yang turut hadir sempat membacakan doa selamat.

Kelima-lima pelajar itu diwakili peguam Amir Syafiq Venkadesh Narayanan manakala pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Azmi Mohd Ali. - Bernama.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular