Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Khamis, 5 Ogos 2010

Lambaian Terakhir 3 Bersaudara Sebelum Maut

Keadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki mangsa.


MARAN: “Saya sudah janji nak bawa mereka beli baju raya Jumaat ini (hari ini) di Kuantan, namun hajat itu tidak kesampaian,” kata Muhamed Falzal Yusuf, 37, yang semua tiga anaknya terbunuh dalam kemalangan selepas Perodua Kancil dinaiki mereka bertembung sebuah BMW di Kilometer 47.5 Jalan Temerloh-Bandar Jengka, malam kelmarin.

Muhamed Falzal berkata, ketika bertemu ketiga-tiga anaknya, Isnin lalu, dia berasa sedikit aneh apabila mereka secara serentak melambai tangan kepadanya sebelum dia pulang ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

“Pada hari itu saya sudah rasa macam ada yang tak kena apabila mereka melambai saya serentak kerana sebelum ini mereka tidak pernah buat begitu,” katanya yang berasal dari Felda Jengka 8, di sini.

Tiga anak Muhamed Falzal yang terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu ialah Fatin Atikah, 16, Fatin Atifah, 15, dan Muhammad Faiz Danial, 6. Turut maut rakan mereka, Muhammad Azlan Abdul Talib, 21, dari Felda Jengka 14, di sini.

Seorang lagi rakan mereka, Shawal Ruddin Hambali, 19, dari Felda Jengka 14 patah paha kiri, manakala pemandu BMW berkenaan, Nor Fazidah Abd Majid, 45, dari Felda Sungai Tekam, Jerantut, cedera di pinggang dan kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Menurut Muhamed Falzal, hubungan mereka anak-beranak memang rapat dan setiap kali pulang ke rumah pada hujung minggu dia pasti meluangkan masa bersama tiga beradik itu.

“Ketika dalam kereta, saya lihat wajah mereka begitu sayu seolah-olah bersedih apabila saya hendak berangkat meninggalkan mereka.

“Saya tak sangka itu rupa-rupanya lambaian terakhir mereka kepada saya sebagai tanda perpisahan kami anak-beranak,” katanya.

Fatin Atikah yang memandu Perodua Kancil milik ibu saudaranya itu maut di tempat kejadian bersama Muhammad Azlan manakala Fatin Atifah dan Muhammad Faiz disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jengka (HJ).

Ketika kejadian, lima sahabat itu dalam perjalanan pulang dari Hoshas selepas menziarah ibu Muhammad Azlan yang menghidap penyakit batu karang.

Muhamed Falzal berkata, dia yang ketika itu berada di Kuala Lumpur bergegas pulang ke rumahnya di Jengka 8 selepas isterinya, Rosiah Muhamad Ismail, 35, memaklumkan berita sedih itu kira-kira jam 9 malam.

Katanya, dia pada mulanya tidak percaya tiga anaknya maut serentak dalam tragedi itu dan menguatkan hati menghadapi saat paling sedih dengan memandu pulang ke rumahnya.

“Pilu hati saya mengenangkan tragedi sedih ini, apatah lagi saya sudah berjanji membawa mereka beli baju raya di Kuantan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini apabila saya pulang dari Kuala Lumpur,” katanya yang sepatutnya pulang ke rumahnya, semalam.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular