
KUALA LUMPUR 2 Sept. — Tindakan agresif gerakan anti-Malaysia di Indonesia dibangkitkan oleh segelintir pihak sahaja dan ia tidak mencerminkan sentimen keseluruhan rakyat republik itu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa, yang akan menamatkan perkhidmatannya hari ini.
"Saya melihat bahawa tindakan ini tidak mencerminkan sentimen keseluruhan dan saya percaya bahawa kedua-dua kerajaan akan dapat mencari penyelesaian yang baik terhadap isu ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan kakitangan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) sempena persaraannya di sini hari ini.
Rastam, 59, akan digantikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Luar, Datuk Mohd. Radzi Abdul Rahman berkuat kuasa esok.
Kumpulan yang menggelar diri sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) baru-baru ini berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di pekarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat Malaysia dari Indonesia.
Rastam yang pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia pada tahun 1999 berkata, diplomat sentiasa memainkan peranan untuk menentukan hubungan baik antara dua negara. - Bernama
