Faudziah menunjukkan gambar Sultan Sharafuddin melihat songket berkenaan ketika merasmikan SACC Mall empat tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Sehelai songket yang ditenun daripada benang emas putih bercorak seni tradisional Malaysia dan direka khas sewaktu kunjungan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan kompleks membeli-belah SACC Mall, Shah Alam, empat tahun lalu, hilang.
Sehubungan itu, pemilik kedai pakaian Zulfauzie Classic yang mempamerkan songket berkenaan, Faudziah Yusoff meminta mana-mana pihak yang kini memiliki songket itu memulangkannya.
Katanya, songket bernilai RM15,000 itu dipamer pada patung di dalam almari di kedainya dan disedari hilang minggu lalu.
“Saya minta mereka yang memiliki songket berkenaan tampil memberi maklumat, jika benar ia sudah dijual, saya sanggup membeli semula songket itu pada harga ia dibeli. Saya menyimpan dan mempamerkannya sejak sekian lama kerana ia direka khas untuk tatapan Sultan ketika merasmikan SACC Mall,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang memiliki songket berkenaan atau mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi Faudziah di talian 012-3491052 atau 03-55111052.