Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Isnin, 13 September 2010

3 Pelajar Perempuan Hilang

HARLIZAH Samah (kanan) menunjukkan gambar anak kembarnya, Nurulashiqin dan Nurulain Kamarazmi manakala Che Norliah Chek Mat menunjukkan gambar anaknya, Suhaily Abdul Razak, di Kampar, Perak, 13 Sept. Ketiga-tiga mereka tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk berhari raya sejak Hari Raya kedua lalu.



KAMPAR:-- - Tiga pelajar perempuan tingkatan dua termasuk dua beradik kembar kini dilaporkan hilang selepas keluar ke pekan ini untuk membeli pakaian pada hari raya kedua, kelmarin.

Nurulain Kamarazmi dan kembarnya, Nurulashiqin dari Taman Sentosa, Taman Bandar Baru di sini serta sahabat mereka, Suhaili Abd. Razak dari kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini tidak pulang ke rumah masing-masing sejak Sabtu lalu.

Ketiga-tiga mereka merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa, Taman Bandar Baru.

Kehilangan pelajar-pelajar perempuan terbabit telah dilaporkan oleh keluarga masing-masing di Balai Polis Kampar pada malam mereka tidak pulang ke rumah.

Ibu kepada dua pelajar kembar itu, Harlizah Samah, 44, berkata, Nurulain dan Nurulashiqin bersama Suhaili keluar berjalan kaki ke pekan Kampar yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumahnya di Taman Sentosa pada pukul 11 pagi kelmarin.

Katanya, mereka masing-masing keluar dengan memakai seluar jeans dan baju T berwarna hitam kecuali Nurulashiqin yang memakai baju T warna ungu serta tidak bertudung dan membawa duit raya sebanyak RM20.

"Pada pukul 5 petang, saya ada hubungi telefon bimbit Nurulain bertanyakan mereka berada di mana dan dia beritahu masih berada di pekan Kampar dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah tetapi tidak sampai-sampai di rumah selepas beberapa jam.

"Kira-kira pukul 9 malam, saya ada hubungi dia sekali lagi tetapi seorang lelaki menjawab panggilan dan terus mematikan talian selepas saya bertanyakan dia siapa dan sejak itu telefon bimbit mereka bertiga gagal dihubungi," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Harlizah, bimbang dengan keselamatan kedua-dua anaknya dan Suhaili, dia meminta anak lelakinya, Mohd. Akmal Shafiq keluar mencari mereka di pekan itu pada malam tersebut tetapi gagal menemui mereka.

"Kepada sesiapa yang tahu di mana mereka berada sekarang, saya minta tolonglah hubungi kami. Kami hanya mahu mereka balik ke rumah sahaja sekarang ini. Baliklah, kami tidak akan marah," katanya sambil air mata bergelinangan.

Ibu kepada empat orang anak itu juga menafikan kedua-dua anaknya itu lari dari rumah kerana berlaku perselisihan faham dengan keluarga.

"Kami tidak bergaduh. Semasa hendak keluar pun, Nurulain dan Nurulashiqin meminta izin dan mencium tangan saya seperti biasa," jelasnya.

Nurulain dan Nurulashiqin merupakan anak kedua dan ketiga daripada empat beradik manakala Suhaili adalah anak keenam daripada tujuh beradik.

Sementara itu, ibu kepada Suhaili, Che Norliah Che Mat, 47, memberitahu, anaknya berkawan rapat dengan Nurulain dan Nurulashiqin sejak di sekolah rendah.

Katanya, anaknya itu juga sering berkunjung ke rumah pasangan kembar itu yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Sabtu lalu, anak saya beritahu saya dia hendak pergi ke rumah Nurulain dan Nurulashiqin kerana ingin membeli pakaian bersama di pekan Kampar.

"Namun, sehingga kini, saya tidak mendengar sebarang khabar berita daripadanya kerana telefon bimbitnya ditutup mungkin kerana kehabisan bateri," katanya dengan nada sedih.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga pelajar perempuan berkenaan diminta menghubungi Harlizah di talian 017-5390689 atau 05-4653252.


PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular