PASUKAN penyelam berbincang sebelum melakukan operasi mencari barang bukti di sebatang tali air di Kampung Sungai Lang, Banting semalam.
BANTING – Siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki memasuki episod baru apabila sepasukan penyelam marin menemui satu objek berkilau seperti seutas gelang emas yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes tersebut semalam.
Gelang yang bersalut lumpur itu ditemui di sebatang tali air berdekatan kunci air di Kampung Sungai Lang di sini pukul 3.50 petang oleh tiga anggota penyelam marin yang memulakan operasi mencari bahan bukti pada pukul 3.30 petang sebelum ia dihentikan dua jam kemudian.
Ketika operasi dijalankan, hujan turun dengan lebat.
Peguam K. Patmanaban yang ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan kejam tersebut turut dibawa polis ke tali air tersebut.
Operasi mencari bahan bukti di tali air itu dipercayai dilakukan untuk mencari beberapa barangan peribadi milik mangsa termasuk telefon bimbit yang dipercayai dibuang ke dalam tali air berkenaan.
Tali air di Kampung Sungai Lang tersebut terletak kira-kira 27 kilometer dari Ladang Gadong, Tanjung Sepat yang disyaki tempat pembunuhan Sosilawati dan tiga lagi lelaki.
Ia merupakan lokasi terbaru dalam operasi mencari bahan bukti.