KOTA BHARU: Ketika umat Islam bergembira meraikan 1 Syawal hari ini, seorang ibu, Nik Suzila Nik Hashim, 32, hanya mampu menitiskan air mata apabila kejadian ngeri mengorbankan anaknya berusia tiga tahun masih terngiang-ngiang dalam fikirannya.
Bagi Nik Suzila, Aidilfitri kali ini tidak membawa sebarang makna apabila hilai tawa Mohamad Adam Muszahffar tidak lagi kedengaran di rumah mereka di Kampung Sungai Budor, di sini.
Menurutnya, sukar baginya ketika ini menerima kehilangan anak bongsunya itu terutama apabila dilakukan suami sendiri yang mengalami masalah mental.
Katanya, kehilangan anaknya itu dua minggu sebelum Aidilfitri memberi tamparan paling hebat kepada keluarganya setiap kali teringat anak kecil itu.
“Mana-mana ibu bapa pun, memang sukar menerima kejadian seperti ini apabila anak kesayangan pergi dalam keadaan begitu.
“Apatah lagi dia dan bapanya begitu rapat sebelum ini, tetapi takdir menentukan Adam pergi selama-lamanya,” katanya selepas melawat Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, di sini, semalam.
Menurutnya, kebanyakan ahli keluarganya juga masih sugul sejak kejadian itu menyebabkan Syawal kali ini hanya disambut secara sederhana.
Katanya, dia akan menyambutnya di rumah ibunya, Noraini Ahmad, 58, bersama saudara-mara lain.
“Biarpun anak sudah tiada, namun saya bersyukur kerana ibu sering memberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama dua lagi anak, Nur Syafika Muhaimin, 8, dan Siti Aisyah, 2,” katanya.
Dalam kejadian 24 Ogos lalu, Mohamad Adam dilaporkan mati selepas disembelih bapanya sendiri kira-kira jam 12 tengah hari.
Suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental kemudian cuba bertindak mengelar leher sendiri sejurus kejadian, namun berjaya ditahan polis.
Sementara itu, Nik Suzila berkata, lebih menyedihkan apabila sentiasa terbayang-bayang wajah anaknya itu setiap kali ke bahagian dapur iaitu tempat berlaku kejadian itu.
Katanya, kedua-dua anaknya juga sering tercari-cari dan bertanyakan mengenai adik mereka.
“Nur Syafika dan Siti Aisyah sering bertanyakan mengenai arwah selain bapa mereka.
“Saya cuba mengelak kerana terlalu sedih jika bercakap mengenainya,” katanya.
Suspek, Muhaimin Sautar, 33, yang sudah didakwa di Mahkamah Majistret baru-baru ini diarahkan ditempatkan di hospital psikiatri selama sebulan bagi mendapatkan laporan perubatan berhubung keadaannya.
Nik Suzila berkata, dia akan menziarahi suaminya itu yang kini ditahan di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru pada 24 September depan.
“Saya sedia memaafkannya dan masih sedia menerimanya jika dia pulih daripada penyakitnya itu,” katanya.
