Karya seni berupa poster filem rekaan yang menampilkan Leftenan Adnan Saidi dipamerkan di platform stesen MRT Pasir Panjang.SINGAPURA - KISAH Leftenan Adnan Saidi, yang berjuang bermati-matian menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua, kini dipaparkan sebagai tatapan penumpang yang melalui stesen MRT Pasir Panjang.
Para penumpang akan dapat melihat poster filem tentang perjuangan Leftenan Adnan, yang dilakonkan pelakon popular Aaron Aziz, di beberapa lokasi stesen MRT itu.
Namun, filem tersebut hanyalah rekaan semata-mata dan posterposter itu sekadar karya seni ciptaan Encik Ho Tzu Nyen, seorang seniman pelbagai bidang dan pembikin filem.
Karya seni itu merangkumi sebuah poster setinggi sembilan meter berdekatan kawasan lif; sebuah diptic (diptych) di kededua penghujung platform dan set empat gambar berdekatan pusat kawalan stesen itu.
Allahyarham Leftenan Adnan merupakan seorang pegawai infantri berusia 27 tahun yang berjuang mempertahankan Singapura daripada serangan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua, dalam salah satu pertempuran paling hebat dalam sejarah negara ini.
Karya seni memaparkan perjuangan Leftenan Adnan itu merupakan sebahagian daripada program Seni dalam Transit yang diusahakan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
LTA membelanjakan sejumlah $5.9 juta bagi menghiasi stesen-stesen laluan Circle Line dengan karya-karya seni.
Menurut LTA, karya memaparkan perjuangan Leftenan Adnan itu dipilih untuk stesen MRT Pasir Panjang memandangkan lokasi stesen tersebut berdekatan dengan tempat Leftenan Adnan bertempur.
Malah, terdapat sebuah tugu peringatan di sebuah muzium peringatan perang berdekatan stesen itu, yang dipanggil Refleksi di Bukit Candu.
